suria

Akta Pembangunan Sukan Perlu Digunakan Secara Serius - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Akta Pembangunan Sukan 1997, yang bertujuan menggalakkan dan memudahkan pembangunan dan pentabdiran sukan di negara ini, perlu digunakan secara serius untuk mewujudkan persatuan-persatuan yang berfungsi dengan secekap-cekapnya, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pelaksanaan akta itu dapat membantu pengurusan sukan negara yang ditempangkan oleh kegagalan kepimpinan dan pengurusan yang tidak cekap.

Katanya masalah dan perbalahan dalam persatuan yang menjejaskan pembangunan sukan berkenaan masih lagi dilihat sebagai mengaburi sukan tanah air.

"Kepimpinan merupakan antara aspek yang penting dalam memajukan sukan di negara kita. Kepimpinan yang baik sudah tentu dapat mewujudkan persatuan yang berkeupayaan untuk mempertingkatkan prestasi sukan masing-masing khususnya di peringkat antarabangsa melalui kejayaan-kejayaan berterusan.

"Dengan bantuan dan sokongan kewangan kerajaan sudah tentulah memudahkan kepimpinan yang berkesan untuk bersama-sama menjayakan hasrat kerajaan dalam memajukan sukan negara," katanya pada Malam Olympian ke-17 di Wisma MOM di sini.

Beliau berkata Majlis Olimpik Malaysia (MOM), selaku organisasi payung kepada hampir kesemua persatuan sukan kebangsaan perlu mengembalikan kedudukannya untuk memainkan peranan supaya setiap anggota gabungan dapat ditadbir urus sebaik mungkin.

Katanya MOM boleh mengambil tindakan termasuk menggantung keanggotaan persatuan yang bermasalah sehingga masalah mereka selesai.

"Dengan tindakan tersebut, pemimpin-pemimpin persatuan akan lebih berdisiplin dan sentiasa berusaha untuk tidak 'terkeluar' daripada keluarga MOM kerana jika 'terkeluar' sudah pasti persatuan yang dipimpin akan kehilangan faedah-faedah sebagai anggota gabungan," katanya.

Katanya akta itu digubal untuk memastikan persatuan sukan ditadbir urus dengan lebih cekap dan berkesan, bagi membolehkan usaha memajukan sukan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Beliau berkata akta yang digubal ketika beliau menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan itu, perlu diperbaiki bagi memantapkannya supaya dapat merangsang kegiatan sukan tanah air.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata beliau mahu melihat sukan dimeriahkan semula di sekolah-sekolah.

Katanya sukan negara akan lebih mudah dimajukan sekiranya atlet-atlet muda yang berbakat dapat dikenalpasti dan dilatih di peringkat awal lagi, khususnya di sekolah.

"Saya akui Kementerian Pelajaran juga terpaksa membuat beberapa penyelarasan disebabkan dana yang terhad.

"Dengan tumpuan diberikan kepada aktiviti di sekolah, maka bantuan pihak-pihak lain termasuk penaja dan persatuan-persatuan sukan amat dialu-alukan demi melaksanakan beberapa aktiviti termasuklah pertandingan di peringkat MSSM (Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia)," katanya.

Beliau berkata persatuan-persatuan sukan yang maju dan berkeupayaan sudah tentu dapat menjadikan sekolah sebagai sumber untuk melahirkan atlet berbakat masing-masing. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain