suria

Penganjuran Kejohanan Sukan Diteruskan Untuk Tarik Pelancong

LANGKAWI: Kementerian Pelancongan akan meneruskan kerjasama dengan penggiat dan penganjur sukan dalam mengadakan sesuatu kejohanan sukan di kawasan pelancongan bagi menarik lebih ramai lagi pelancong datang ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, kejohanan sukan, khasnya bagi sukan yang kurang dikenali, perlu diadakan di kawasan pelancongan atau tumpuan orang ramai bagi menaikkan lagi nama sukan dan tempat pelancongan itu sendiri.

"Selain mempromosikan kawasan pelancongan, penganjuran sesuatu sukan juga dapat memperkenalkan sukan di kawasan lokasi tumpuan umum," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara ini juga secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai lagi penggiat sukan dari luar negara yang seterusnya menjadi pelancong dan menjayakan program Malaysia Rumah Kedua kementerian itu.

"Penganjuran sukan di kawasan pelancongan juga mampu mempromosikan nama negara, tempat pelancongan dan sukan itu sendiri di mata dunia, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain