'Evolution Racing' Muncul Juara Regata RLIR 2010 - Sukan | mStar

'Evolution Racing' Muncul Juara Regata RLIR 2010

Diterbitkan: Jumaat, 15 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Pasukan 'Evolution Racing' meraih gelaran juara Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2010, sekali gus menjulang trofi Piala Cabaran Perdana Menteri, selepas mengungguli saingan terakhir di sini hari ini.

Pasukan Australia itu diketuai jurumudi Ray Roberts mengumpul 10 mata penalti selepas menamatkan cabaran lapan perlumbaan manakala pencabar terdekat 'Hi FI' dari New Zealand terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 11 mata.

Tempat ketiga dalam kategori IRC Racing itu disandang oleh pasukan Hong Kong dengan kapal layar 'Jelik' menerusi 17 mata.

Sementara itu pasukan 'Zuhrah' yang diketuai oleh jurumudi Mohd Razali Mansor dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghimpun 26 mata.

Kejayaan 'Evolution Racing' itu merupakan kenangan yang sukar dilupakan oleh Roberts, pelayar berpengalaman yang membantu pasukan 'Quantum Racing' menjuarai kejohanan itu empat tahun berturut-turut sebelum ini.

Roberts menyifatkan status pendahulu yang sering berubah semasa perlumbaan terakhir adalah paling sengit dan mencabar dan mengucapkan tahniah kepada anak kapalnya yang terpaksa bertarung dengan tiupan angin selaju 20 knots.

"Kami dan Hi Fi terikat dalam pungutan mata semalam, jadi kami terpaksa bersaing...Pada mulanya, mereka mendahului kami dan saya beritahu anak kapal supaya yakin dan berhati-hati dengan tiupan angin yang tidak menentu," katanya.

Roberts menyifatkan perlumbaan RLIR tahun ini antara regata terbaik yang disertainya di Asia dengan keadaan angin yang begitu baik sekali.

Selain itu, kategori 'Premier Cruising' turut menyaksikan saingan hebat antara pasukan Australia "Katsu' dan 'Koull Baby'.

Bagaimanapun, 'Koull Baby' dengan jurumudi Pete Wintle muncul juara diikuti 'Katsu' dan 'Matahari' di tempat ketiga.

Di akhir perlumbaan, 'Koull Baby' dan "Katsu' terikat dengan 12 mata penalti masing-masing tetapi 'Koull Baby' diisytihar sebagai pemenang selepas mencatatkan empat kemenangan dalam lapan perlumbaan manakala 'Katsu' tiga kemenangan.

Dalam pada itu, pelayar tempatan Norhafisam Ahmad yang mengemudi kapal 'Marikh' muncul juara dalam kategori 'Club Cruising' dengan mengumpul tujuh mata penalti selepas memenangi perlumbaan akhir.

"Angin sangat baik...walaupun layar koyak, kami berjaya mengatasinya dengan menukar layar dan kembali untuk memenangani perlumbaan itu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perlumbaan RLIR Mike Pryke berkata keadaan cuaca yang baik dengan tiupan angin 20 knots adalah sangat baik untuk perlumbaan di kepulauan peranginan itu.

"Jawatankuasa perlumbaan harap Regata RLIR tahun depan akan menarik lebih ramai peserta dalam semua kategori," katanya. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan