Perlis Sedia Tarik Diri Liga Malaysia Demi Negara - Sukan | mStar

Perlis Sedia Tarik Diri Liga Malaysia Demi Negara

Diterbitkan: Khamis, 14 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak Perlis bersedia menarik diri daripada kancah Liga Malaysia bagi membolehkan empat pemainnya di dalam skuad bawah 23 tahun kebangsaan menjalani latihan di luar negara, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim.

"Kami bukan sahaja rela untuk melepaskan empat pemain Perlis yang merupakan pemain-pemain skuad bimbingan jurulatih K. Rajagobal malah pemain-pemain lain jika dipanggil demi negara.

"Sekiranya tidak mempunyai pemain (terbaik) yang mencukupi, kita bersedia menarik diri untuk sementara waktu daripada saingan Liga Malaysia," katanya di sini hari ini.

Empat pemain Perlis terbabit adalah Mohd Farizal Marlias (penjaga gol), Amar Rohidan (tengah), Ahmad Fakri Saarani (penyerang) dan Mazlizam Mohamad (pertahanan).

Shahidan berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menghantar pemain-pemain bawah 23 tahun kebangsaan menjalani latihan di kelab-kelab di Eropah.

Cadangan latihan di luar negara itu timbul setelah skuad bawah 23 tahun kebangsaan berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA Laos pada tahun lepas sekaligus menamatkan penantian 20 tahun sejak kali terakhir memenanginya pada 1989. -BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan