suria

Pengurus Kecewa Kedah Terlepas Banyak Peluang

ALOR SETAR: Pengurus pasukan bola sepak Kedah, Datuk Khazali Din merasa kecewa kerana pasukannya melepaskan banyak peluang untuk menghasilkan gol ketika Kedah tewas tipis 0-1 kepada jirannya Perlis dalam perlawanan Liga Super kedua mereka di gelanggang sendiri malam tadi.

Katanya kekalahan itu memberi pengajaran kepada semua pemain Kedah bahawa bermain di gelanggang sendiri bukan lagi menjadi kelebihan jika mereka gagal menyempurnakan peluang yang dicipta.

Kekalahan itu turut memaksa Kedah untuk mengkaji semula strateginya untuk menghadapi Johor FC di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

"Pemain saya mungkin hilang rentak selepas ketinggalan 0-1 pada minit ke-18 dan kembali yakin apabila Perlis bermain dengan 10 orang pemain selepas Badrul Azam Zamri dibuang padang dua minit selepas itu. "Tetapi kegelojohan mereka menyerang menjadi sia-sia apabila peluang yang dicipta terlepas begitu sahaja.

"Saya berpuas hati dengan persembahan mereka tetapi tetap terkilan kerana enam peluang yang dicipta gagal menghasilkan walaupun satu gol," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Kedah memulakan Liga Super dengan cemerlang apabila menumpaskan Johor 3-0 di gelanggang lawan Sabtu lepas.

Menurut Khazali, beliau akan berbincang dengan ketua jurulatih Ahmad Yusof bagi mengatasi masalah beberapa pemain yang bermain di bawah tahap sebenar seperti penyerang Azlan Ismail dan Zamri Chin.

Ahmad Yusof pula berkata beliau sedang berusaha untuk memperkemaskan barisan hadapan pasukannya yang kelihatan tumpul.

"Kedua-dua penyerang itu dan beberapa pemain baru yang lain mungkin belum cukup serasi tetapi semangat juang mereka tidak pernah luntur walaupun dalam keadaan tertekan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain