suria

Abdul Halil Ganti Mohd Nadzmi Sebagai Ketua Kontinjen Ke Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalib dilantik sebagai ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, Oktober ini bagi menggantikan Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh yang menarik diri atas alasan kesihatan.

Setiausaha kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata Abdul Halil telah bersetuju di atas pelantikan tersebut yang dibuat selepas Mohd Nadzmi pada 12 Nov lepas menolak pelantikannya selepas mengalami serangan jantung semasa berada di Chennai, India pada awal bulan itu.

"MOM kemudian bermesyuarat dan bersetuju dengan pelantikan Abdul Halil yang juga bekas Ketua pengarah Kastam Diraja Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Nadzmi dalam surat penolakan pelantikan itu kepada MOM memberikan alasan masalah kesihatan dan kesibukan tugasnya selaku pengerusi Proton Holdings Berhad.

Dalam perkembangan berkaitan, Sieh berkata MOM percaya pihak berkuasa di India akan memastikan keselamatan kontinjen semua negara yang akan bertanding pada Sukan Komanwel di New Delhi yang akan berlangsung dari 3-14 Okt depan.

Beliau berkata walaupun terdapat banyak khabar angin yang meragui tahap keselamatan di negara tersebut, MOM mahu bersikap realistik dan akan meminta nasihat daripada Wisma Putra jika situasi di negara tersebut berubah.

Sieh diminta mengulas laporan berita di dalam laman web rasmi Sukan Komanwel New Delhi 2010 yang menyatakan pihak berkuasa keselamatan India sedang berusaha keras bagi menjamin persekitaran yang selamat untuk kejohanan sukan itu.

Menurut lawan web itu, Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) Michael Fennell telah menyangkal khabar angin mengenai kebimbangan soal keselamatan di bandar itu tetapi menekan ia menjadi isu utama bagi New Delhi.

"CGF menganggap keselamatan dan keamanan kejohanan untuk atlet dan penonton sama, sebagai hal yang paling penting dan menjadi keutamaan tertinggi," katanya.

"Pada 2005, CGF telah melantik syarikat pakar antarabangsa, Intelligent Risks Pte Ltd (IR), sebagai penasihat keselamatan bagi Delhi 2010.

"IR mempunyai pengalaman yang luas dalam Sukan Komanwel, Olimpik dan kejohanan yang melibatkan pelbagai acara sukan, dan paling penting, mempunyai pengetahuan yang terperinci mengenai langkah keselamatan yang telah diambil untuk Delhi.

"Beberapa laporan media baru-baru ini mengenai keselamatan kejohanan itu dibuat oleh mereka yang tidak terlibat dalam mana-mana aspek perancangan keselamatan untuk Sukan Komanwel New Delhi 2010, dan tidak mempunyai pengetahuan yang serius mengenai perincian pelan merentasi semua aspek yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain