suria

Regata Tonjol Langkawi Sebagai Destinasi Kapal Layar Terkemuka

LANGKAWI: Pelayar negara, Datuk Azhar Mansor berpendapat penganjuran Regata Antarabangsa Diraja Langkawi 2010 yang bermula semalam dapat mempromosi Langkawi sebagai destinasi kapal layar terkemuka dunia.

Azhar yang mengelilingi dunia secara solo pada 1999 berkata, regata itu membolehkan nama Langkawi diletakkan dalam peta dunia pelayaran.

"Regata ini yang sudah masuk edisi kelapan mendapat penyertaan daripada pelayar seluruh dunia yang membuktikan ia sudah dikenali," katanya di sini hari ini.

Azhar berkata, pelayar yang mengambil bahagian bukan datang seorang diri, sebaliknya mereka membawa rakan-rakan serta keluarga mereka, sekaligus meningkatkan kehadiran bilangan pelancong ke pulau ini.

Sebanyak 26 kapal layar dari Afrika Selatan, Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, Belanda, Australia, Singapura, Hong Kong, Belanda, New Zealand, Norway dan Malaysia menyertai kejohanan itu yang berakhir Jumaat ini.

Langkawi menyediakan kemudahan yang cukup kepada pelayar kerana mempunyai empat marina iaitu Royal Langkawi Yacht Club, Rebak Marina, Awana Porto Malai dan Harbour Park. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain