suria

Pemain Boling Selangor Terus Mendahului

PETALING JAYA: Juara bertahan, Selangor kekal di hadapan pada hari kedua Kejohanan Boling Antara Negeri ke-23 yang berlangsung di Pyramid Megalanes di Bandar Sunway, di sini hari ini.

Dalam perlawanan hari ini, Selangor merangkul dua lagi pingat emas dalam acara beregu lelaki dan wanita, satu perak dan satu gangsa.

"Setakat ini, kami telah mencapai sasaran empat pingat emas. Kami juga telah melepasi pencapaian tahun lepas iaitu tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa. Esok, lapan lagi pingat dipertandingkan dan saya rasa pemain kami boleh memungut dua daripadanya," kata pengurus pasukan Mat Salleh.

Beliau berkata dua pingat emas itu dijangka diperoleh daripada kategori all-events wanita dan lelaki melalui Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Zulmazran Zulkifli.

Selepas menamatkan dua acara, Zandra Aziela kini mendahului kategori all-events dengan 2,748 jatuhan pin, manakala Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman di tempat kedua dengan perbezaan 69 pin dan Hee Kar Yen dari Kuala Lumpur di tempat ketiga dengan 2,612.

Dalam kategori all-events lelaki, Zulmazran mendahului kedudukan selepas mengumpul 2,834 jatuhan pin.

Sementara itu, dalam acara beregu lelaki malam ini, pemain Selangor Zaid Izlan Ibrahim Hakimi dan Kelvin Keong merangkul pingat emas apabila menjatuhkan 2,742 pin.

Pasangan Sarawak, Chong Jun Foo dan Aris Ardila Santosoh, yang ketinggalan 147 mata, memperoleh perak manakala Yusuf Abdul Raof dan Kua Jian Wen dari Kuala Lumpur mendapat pingat perak dengan 2,576 jatuhan pin.

Bagi acara beregu wanita Zandra Aziela dan Siti Safiyah dari Selangor memperoleh pingat emas apabila menjatuhkan 2,673 pin, manakala perak dan gangsa dimenangi beregu Kuala Lumpur, Sharon Koh/ Wendy Chai (2,531 pin) dan Hee Kar Yen/Cheryl Cheong (2,509).

Esok mereka akan meneruskan cabaran pada hari terakhir kejohanan dengan acara berpasukan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain