Insentif Shakam Dikaji Semula

Diterbitkan: Selasa, 12 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju untuk menaikkan kadar insentif bagi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) bagi menggalakkan atlet beraksi lebih cemerlang untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara kuasa sukan. Menurut beliau, kerajaan juga bersetuju memberikan RM10 juta kepada tabung Pelan Pembangunan Bola Sepak yang diwujudkan pada tahun ini bagi membangunkan sukan tersebut di peringkat akar umbi.

"Kedua-dua insentif ini berdasarkan pencapaian cemerlang kontinjen negara pada Sukan SEA ke-25 yang berlangsung di Laos pada bulan lepas. Kabinet berpuas hati dan berbangga dengan pencapaian yang melepasi sasaran dengan memungut 40 emas, 40 perak dan 59 gangsa yang diraih dari Vientiane.

"Butiran mengenai kadar insentif itu akan diumumkan dalam sedikit masa lagi," katanya ketika berucap di majlis penyampaian cek Shakam kepada 62 pemenang pingat emas dari temasya di Vientiane yang berlangsung dari 9 hingga 19 Disember lepas.

Di bawah Shakam, pemenang pingat emas temasya dwitahunan itu kini mendapat RM5,000 dan yang mencatat rekod baru diberikan tambahan RM1,000.

Bagi Sukan Komanwel dan Sukan Asia, pemenang pingat emas kini mendapat RM80,000, perak (RM40,000) dan gangsa (RM20,000). Sementara insentif bagi pemenang pingat emas Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000)

Najib berkata, Shakam diperkenalkan ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan di antara tahun 1986 hingga 1990 sebagai galakan kepada pemenang pingat emas bagi temasya sukan seperti Sukan SEA, Komanwel dan Olimpik.

"Saya yang memperkenalkan Shakam dahulu. Di atas cadangan Menteri Belia dan Sukan sekarang (Datuk Ahmad Shabery Cheek), Kabinet bersetuju mengkaji semula insentif dan kadar baru Shakam. Butirannnya akan diumumkan dalam sedikit masa lagi," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan atlet agar terus mengukir kejayaan di peringkat lebih tinggi dan bukan setakat kecemerlangan di saingan serantau sahaja.

Mengenai Pelan Pembangunan Bola Sepak, beliau berkata, pemberian RM10 juta kepada tabung tersebut berdasarkan kejayaan skuad negara di bawah bimbingan K. Rajagobal menamatkan kemarau emas selama 20 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 1989 di Kuala Lumpur.

"Ketika itu, saya menjadi Menteri Belia dan Sukan dan saya merasai manisnya kemenangan tersebut. Bola sepak adalah sukan yang begitu popular di negara ini.

"Kerajaan setuju dengan cadangan Kementerian Belia dan Sukan untuk melaksanakan Pelan Pembangunan Bola Sepak dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membangunkan sukan tersebut di peringkat akar umbi," katanya.

Pelan tersebut katanya akan dibangunkan secara sistematik dan bukan tertumpu kepada pemain sahaja tetapi juga jurulatih dan pegawai teknikal yang berkaitan.

Dalam ucapannya, Najib turut menyentuh mengenai kejayaan beberapa cara sukan yang menyumbang emas terbanyak bagi Malaysia seperti terjun (6), karate (5) dan silat (4).

Beliau turut memuji atlet acara silat yang menyumbangkan empat pingat emas dan tinju yang menyumbangkan dua pingat emas walaupun pada awalnya tidak disasarkan.

"Acara kemuncaknya tentunya bola sepak. Emas sukan tersebut melenyapkan kesunyian rakyat Malaysia yang dahagakan emas dari bola sepak," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan