suria

MSN Dan KOAM Perlu Selesaikan Konflik Dengan Segera - Razali

BUTTERWORTH: Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim meminta agar Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menyelesaikan segera konflik yang berlaku di antara kedua-dua badan sukan itu kerana ia hanya akan membantutkan program pembangunan atlet. Beliau berkata perbalahan yang wujud akan merugikan kedua-dua badan sukan itu kerana pergeseran yang berlaku menjejaskan usaha membangunkan sukan khususnya sukan olahraga.

"Selepas Sukan Sea di Laos, kita ada potensi yang sangat besar dan sepatutnya selepas kejayaan atlet kita di Laos, ia menjadi rangsangan kita untuk menyusun gerak kerja seterusnya.

"Tetapi pergeseran itu sudah tentu akan membunuh semangat atlet dan peminat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal Pemuda 1Malaysia yang diadakan di Kelab Sukan Safira, di sini hari ini.

Beliau percaya terdapat jalan penyelesaian bagi menghentikan kemelut itu bagaimanapun jika berlarutan, penyelesaian terpaksa dilakukan di peringkat penguatkuasaan yang tertakluk di bawah Akta Pembangunan Sukan.

"Saya telahpun diberi maklumbalas secara lisan selepas saya minta laporan dan saya percaya Menteri (Datuk Ahmad Shabery Cheek) pun akan terlibat dalam selesaikan kemelut ini," katanya.

Perbalahan bermula apabila MSN mendakwa KOAM mengalami kepincangan dalam pengurusannya sehingga menyebabkan badan olahraga itu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

KOAM pula sebelum ini menuding jari kepada MSN dan menyalahkan badan itu di atas kegagalan pasukan 4x400 meter lelaki Sukan Sea di Laos mempertahankan pingat emas berikutan keengganan MSN melepaskan atlet palapes menyertai acara itu.

Sementara itu, kejohanan Futsal yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian Bagan menarik penyertaan 104 pasukan dari seluruh negara bagi merebut hadiah wang tunai lebih RM10,000 yang ditawarkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain