KFA Sedia Khidmat Hipnoterapi Pada Pemain

Diterbitkan: Isnin, 4 Januari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Bagi memastikan pemain memberikan sepenuh tumpuan dan dapat bermain tanpa tekanan, Persatuan Bola Sepak Kadah (KFA) akan menyediakan rawatan hipnoterapi kepada semua pemain sebelum setiap kali perlawanan berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan dan Kebudayaan negeri, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, rawatan itu telah digunakan di Amerika Syarikat dan menunjukkan hasil yang memberangsangkan.

"Rawatan ini adalah satu kaedah untuk mendekati pemain dan setiap tekanan yang membelenggu mereka sebelum perlawanan bermula dapat diatasi sebelum turun ke padang.

"Rawatan hipnoterapi ini bukan sahaja disediakan kepada pemain bola sepak, tetapi ia juga akan diberikan kepada atlet sukan-sukan lain di negeri ini," katanya pada sidang media memperkenalkan jersi dan pemain bola sepak Liga Super di sini hari ini.

Katanya, kaedah itu merupakan yang terbaik untuk mendekati pemain terutama yang kurang keyakinan diri untuk beraksi.

Hamdan turut mengumumkan pembelian sebuah bas untuk kegunaan KFA berharga hampir RM400,000.

Beliau berkata, persatuan lain boleh menyewa bas tersebut untuk kegunaan mereka apabila bas itu tidak digunakan oleh KFA.

Pada majlis itu, KFA juga menandatangai perjanjian dengan syarikat peralatan sukan Lotto yang menaja jersi dan peralatan sukan bola sepak untuk tempoh setahun berjumlah kira-kira RM150,000. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan