suria

Kedudukan Mohd Romzi Di Tangga Kedua Tak Kekal Lama

LANGKAWI: Peluang skuad pelayar Malaysia meraih kejayaan semakin tipis apabila pelayar negara Mohd Romzi Muhamad terpaksa berada di tangga kelapan keseluruhan selepas sepuluh perlumbaan dalam kategori Laser Radial pada Kejohanan Kebangsaan Australia di Adelaide. Mohd Romzi sebelum ini berada di tangga kedua keseluruhan selepas lapan perlumbaan semalam, bagaimanapun beliau gagal menunjukkan persembahan cemerlang hari ini. Seorang lagi pelayar negara Khairulnizam Mohd Afendy terus merosot apabila turun ke tangga kesepuluh yang sebelum ini tangga ketujuh.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Mohd Afendy Abdullah berkata, tiupan angin kencang melebihi 28 knot tidak dapat membantu pelayar negara membaiki pencapaian.

Menerusi emel kepada Bernama di sini, Mohd Afendy berkata baki dua perlumbaan esok mungkin dapat membaiki kedudukan dua pelayar harapan negara itu.

Pelayar Olimpik Singapura Koh Seng Leong masih menjadi pendahulu keseluruhan kategori itu.

Dalam kategori Laser Standard, peserta negara Nik Ashraf Nik Azizan kekal di tangga ke-22 manakala Harrithammry Nassution di tempat ke-27. Bagi acara International 420, gandingan Ku Anas Ku Zamil dan Muhamad Hafizzudin Mazelan kekal di tangga kesembilan keseluruhan diikuti pelayar pelapis kebangsaan, Khairunisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohamad Sayed di tangga ke-13. Gandingan Singapura Liu Justin Xiamen dan Cheng Shermen Feng Yuan masih menjadi pendahulu yang mempunyai peluang meraih kejuaraan.

Seramai 94 pelayar dari tujuh negara antaranya Perancis, Singapura, New Zealand, Malaysia dan Australia menyertai kejohanan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain