suria

Cadangan Kekal Pemain Bawah 23 Tahun Sudah Terlambat

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad menyifatkan cadangan mengekalkan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23), yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Laos Disember lepas, sebagai pemain kebangsaan sebagai sudah terlambat.

Namun begitu katanya, FAM masih mempunyai dua pasukan iaitu Harimau Muda A (bawah 21 tahun) dan B (bawah 19 tahun) untuk merealisasikan cadangan itu. "Kedua-dua pasukan ini berada di bawah pengurusan penuh FAM yang boleh kita pupuk mulai sekarang dengan latihan yang sistematik, pendedahan di peringkat antarabangsa dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, hari ini.

Selain itu katanya, beberapa pemain di dalam skuad bawah 23 tahun kebangsaan juga merupakan pemain-pemain skuad Harimau Muda A di bawah bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek sebelum ini dilaporkan mencadangkan pemain-pemain skuad bawah 23 tahun tidak dilepaskan untuk bermain dengan pasukan negeri atau kelab dalam saingan Liga Malaysia tahun ini, sebaliknya dikekalkan sebagai pemain kebangsaan.

Menurut Ahmad Shabery, mereka perlu diberikan lebih banyak pendedahan dengan berlatih dan bermain dengan pasukan kelab di luar negara.

Redzuan turut meminta persatuan negeri dan kelab agar menghasilkan pemain-pemain berkualiti bagi meningkatkan lagi tahap sedia ada bola sepak tempatan.

"Berdasarkan analisa yang kita buat sebelum ini, apabila pemain-pemain kebangsaan kembali ke pasukan negeri atau kelab tahap kecergasan mereka akan jatuh.

"Walaupun ia (kecergasan) sudah cukup bagus untuk memenangi kejohanan di peringkat domestik namun ia tidak mencukupi untuk perlawanan antarabangsa," katanya.

Terdahulu, Redzuan bersama-sama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz menyampaikan ganjaran kepada pemain-pemain dan pegawai-pegawai pasukan yang berjaya meraih pingat emas di Sukan SEA Laos pada bulan lepas.

Seramai 20 pemain dan lapan pegawai pasukan termasuk jurulatih kebangsaan K.Rajagobal menerima ganjaran wang tunai yang berjumlah antara RM24,000 hingga RM31,000.

Skuad Rajagobal itu berjaya menamatkan penantian 20 tahun pingat emas negara di Sukan SEA apabila menewaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain