suria

MAAF MU, CHELSEA BERMAIN BAGAIKAN JUARA

SAYA adalah seorang penyokong tegar Man Utd. Tetapi izinkan saya untuk meminta maaf terlebih dahulu kepada semua penyokong setia MU. Chelsea semalam bermain bagaikan pasukan juara dan itu adalah satu hakikat.

Dan jika mereka mampu mengekalkan momentum tersebut sehingga akhir bulan Disember, yang mana Liga Perdana Inggeris akan melalui bulan yang paling sibuk, saya percaya penyokong MU akan berputih mata kerana tidak ada pasukan yang dapat mengejar Chelsea.

Untuk Arsenal, masa depan pasukan ini bagi musim 2009/10 bolehlah ditangguhkan buat seketika. Satu-satunya pasukan kini yang boleh mengejar Chelsea adalah MU dan itu pun bergantung kepada sejauh mana prestasi mereka yang agak tidak konsisten sepanjang bulan Disember ini nanti.

Kekalahan Arsenal 0-3 di tangan Chelsea sangat jelas dan amatlah menyedihkan sekali apabila kita mendengar bagaimana Arsene Wenger cuba menjustifikasikan kekalahan itu dengan menyalahkan pengadil.

Hakikatnya ialah Didier Drogba, melalui dua jaringannya semalam telah menyumbat 10 gol dalam 11 permainan. Dan sentuhannya semalam khususnya gol pertama hasil cip silang Ashley Cole adalah bertaraf dunia.

Jika ada sekalipun fakta positif yang boleh dikaitkan dengan pasukan Arsenal semalam ialah, ia bukanlah satu-satunya pasukan utama dalam Liga Perdana Inggeris yang tidak dapat menahan kemaraan Chelsea musim ini.

Arsenal nampak gah seketika sebaik sahaja masuk separuh masa kedua apabila Wenger menyedari hakikat bahawa tiada gunanya mengekalkan Alex Song sebagai holding midfielder. Arsenal memerlukan gerakan pantas yang menyerang dan Theo Walcott adalah jawapannya.

Gerakan serangan mereka nampak tajam dan ia kelihatan seperti berbaloi buat seketika apabila Andrey Arshavin menerjahkan bola ke gawang Chelsea hanya untuk melihat jaringannya itu dibatalkan atas sebab teknikal kerana pengadil merasakan Eduardo da Silva mengangkat kaki terlalu tinggi kearah Petr Cech.

Bagaimanapun percubaan demi percubaan oleh Arshavin dan Walcott masih tidak dapat menembusi pertahanan berdisiplin Chelsea dan juga penjaga gawangnya.

Dengan kekalahan ini, Arsenal sekarang ketinggalan 11 mata di belakang pasukan Carlo Ancelotti. Dengan jurang yang sangat besar ini, Arsenal sewajarnya mengucapkan selamat tinggal kepada takhta liga.

Selepas mengharungi 14 perlawanan maka benarlah apa yang pernah dikatakan oleh Sir Alex Ferguson di awal musim bahawa Carlo Ancelloti akan membawa teknik dan gaya permainan AC Milan ke Chelsea yang telah terbukti berjaya meletakkan AC ke punca juara Piala Eropah.

ARSENAL: Manuel Almunia,Bacary Sagna, Thomas Vermaelen, William Gallas, Armand Traore, Cesc Fabregas, Samir Nasri (Tomas Rosicky, 66), Pereira Neves Denilson, Alexandre Song (Theo Walcott, 46), Andrey Arshavin, Da Silva Eduardo (Carlos Alberto Vela, 57).

CHELSEA: Petr Cech, Branislav Ivanovic, Ashley Cole, A (Renato Paulo Ferreira, 72), Ricardo Carvalho, John Terry, Michael Essien, Frank Lampard, Joe Cole, J (Souza Deco, 68), John Obi Mikel, Didier Drogba (Florent Malouda, 87), Nicolas Anelka.

Artikel Sebelum

Juara Wanita Dunia Terkeluar

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain