suria

KBS rancang Wujud Enam IKBN Dalam RMK9

KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan bercadang mewujudkan enam Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) bagi menyediakan lebih banyak peluang latihan kepada para belia dalam negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Wee Jeck Seng berkata IKBN itu dirancang untuk dibina di Pekan, Pahang; Bandar Penawar (Johor); Pedu (Kedah); Kuala Langat (Selangor); Kerteh (Terengganu), dan Tanah Merah di Kelantan.

"Dengan terbinanya IKBN itu kelak, tambahan 3,000 tempat lagi akan dapat ditawarkan kepada belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjalani kemahiran," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen IKBN Kinarut di Dewan Sa'adah, Wisma Muis, dekat sini hari ini.

Seramai 631 pelajar IKBN Kinarut menerima sijil kemahiran pelbagai bidang pada majlis itu. IKBN Kinarut yang beroperasi sejak 2003 sehingga ini berjaya melahirkan kira-kira 1,925 pelatih.

Wee berkata kementerian itu juga sedang merancang untuk membanyakkan IKBN yang menawarkan kursus di peringkat diploma dan peringkat diploma lanjutan.

Katanya kursus peringkat diploma kini hanya dijalankan di lima IKBN iaitu Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Sepang, Selangor IKBN Pagoh (Johor), IKBN Alor Gajah Melaka, IKBN Chembong (Negeri Sembilan), IKBN Bukit Mertajam (Pulau Pinang) dan IKBN Bachok di Kelantan.

Beliau berkata kementerian itu juga akan mempelbagaikan bidang latihan di IKBN seluruh negara, yang melibatkan 11 bidang utama dan 67 jurusan.

Bagi tahun depan, Wee berkata kementerian itu merancang untuk membuat pengambilan 10,760 orang pelajar dan berharap IKBN dapat melahirkan kumpulan teknokrat serta usahawan yang berjaya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Santokh Singh Semakin Pulih

Artikel Berikut

Artikel Lain