suria

Bola Keranjang Fiba Asia U16: Kejutan Pemain Iran

JOHOR BAHARU: Malaysia bukan tandingan buat pemain Iran dan itulah realiti menyedihkan bagi pasukan negara di Kejohanan Pertama Bola Keranjang Fiba Asia U16 (lelaki) di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya di sini.

Pemain Malaysia ditewaskan 52-97 dalam pertemuan akhir Kumpulan D malam semalam dan keputusan ini mencerminkan kekuatan Iran dan kelemahan Malaysia.

Sejak dari awal permainan ketidakseimbangan jelas ketara. Ketangkasan dan kelicikan pemain Iran merupakan faktor kukuh yang sukar ditandingi pemain Malaysia.

Pada penghujung separuh masa pertama, Iran mendahului 52-21 dan mereka tidak perlu menggunakan pemain tertinggi mereka, Amer Esmael Koladooz berukuran 2.05m.

Tetapi Seheil Yusofi dan Amir Sedighi (2.03m) berkongsi sumbangan sejumlah 44 mata untuk mencelarukan pertahanan Malaysia.

Bagi Malaysia, skipper Ang Vui Hang muncul penjaring terbanyak dengan 15 mata tetapi pasukan negara kehilangan pengaruh pemain tengah Loh Shee Weng (1.91m) yang diperintah keluar pada awal permainan lagi.

"Kami bukan tandingan buat pemain Iran. Malah mereka dalam kelas yang berlainan. Itu kami akui," kata pengurus pasukan Sim Sin Heng.

Iran akan mara ke pusingan kedua selaku juara Kumpulan D dan China Taipei sebagai naib johan sementara Malaysia dan Thailand menyertai perlawanan dalam kumpulan kalah yang bermula hari ini.

Korea Selatan juga mara ke pusingan kedua selepas memenangi Kumpulan C dengan rekod 100 peratus berikutan kemenangan mereka 103-61 ke atas Syria di perlawanan akhir pusingan awal dengan Syria muncul naib johan.

Filipina Kumpulan B teratas dengan rekod tanpa cela selepas menewaskan Bahrain 62-45 semalam dan favourite awal China juga menempah tiket ke pusingan kedua dari Kumpulan A dan mereka akan disertai oleh Jordan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain