suria

Kien Keat- Boon Heong Mara Ke Pusingan Akhir

KUALA LUMPUR: Kegundahan skuad Malaysia sedikit terubat apabila pasangan beregu lelaki nombor satu dunia Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mara ke pusingan akhir badminton Siri Super Master China setelah menewaskan pasangan dari Taiwan.

Mereka mengalahkan Chen Hong Ling-Lin Yu Lang 21-15, 21-13 dalam masa 26 minit pada kejohanan itu yang berlangsung di Guangzhou, China.

Perlawanan akhir Ahad, merupakan yang ketiga dalam tempoh kurang sebulan buat pasangan juara Kejohanan Terbuka Seluruh England 2007 itu, selepas Siri Super Terbuka Denmark dan Siri Super Terbuka Perancis pada hujung bulan lepas.

Kejayaan Kien Keat/Boon Heong bagaimanapun gagal dituruti pasangan beregu wanita, Chin Eei Hui-Wong Pei Tty, yang tewas kepada beregu tuan rumah, Tian Qing-Zhang Yawen dengan keputusan 17-21 dan 8-12.

Kekalahan beregu wanita nombor empat dunia ini menambah duka kem Malaysia, yang sebelum ini menyaksikan tersingkirnya pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, dan ratu badminton negara, Wong Mew Choo. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain