suria

Lebih 700 Peserta Dijangka Sertai 'Malakof Interstate Fellowship Ride 2009'

PULAU PINANG: Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) mensasarkan lebih 700 peserta akan menyertai perlumbaan berbasikal 'Malakoff Interstate Fellowship Ride 2009' yang akan berlangsung pada 31 Dis ini hingga 1 Januari tahun depan.

Ketua Hal Ehwal Korporatnya Yusop Abdul Rashid berkata selain mewujudkan kesedaran gaya hidup sihat, perlumbaan itu juga bertujuan untuk mengumpul dana sebanyak RM20,000 untuk Persatuan Kebangsaan Autistik Malaysia (Nasom).

Katanya, perlumbaan dua hari sejauh 220 kilometer meliputi 149 laluan mencabar dan 71 laluan biasa itu akan merentas tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah. "Ini merupakan acara yang pertama seumpamanya, satu acara yang sangat unik bukan sahaja untuk tujuan rekreasi tetapi juga kebajikan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Majlis perasmian acara ini disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Pulau Pinang Lydia Ong Kok Fooi. Beliau berkata program itu dianjurkan Malakoff dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan tarikh tutup penyertaan ialah pada 1 Disember ini.

Yusop berkata sesuatu yang menarik mengenai 'Malakoff Interstate Fellowship Ride 2009' ini ialah ia diibaratkan sebagai simbolik ucapan selamat datang 2010 dengan gaya hidup yang sihat. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain