Tuah Kaki:Kini Kocek Pemain N9 Dah Berjumlah RM450,000

Diterbitkan: Isnin, 16 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Kocek Pasukan Bolasepak Negeri Sembilan yang baru sahaja memenangi piala paling berprestij dalam pertandingan bolasepak kebangsaan iaitu Piala Malaysia semakin berisi apabila memperolehi RM300,000 lagi hari ini.

Dengan jumlah itu, hadiah wang tunai yang mereka perolehi sejak memenangi Piala Malaysia selepas 61 tahun mencecah RM450,000.

Hari ini, Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan telah menghadiahkan para pemain mereka sebanyak RM200,000 sementara Perbadanan Menteri Besar iaitu sayap pelaburan kerajaan negeri telah bermurah hati untuk menyumbang sejumlah RM100,000 lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan berkata, para pemainnya telah pun menerima RM100,000 selepas berjaya mencapai ke perlawanan akhir.

Pasukan itu juga telah menerima RM50,000 selepas mereka berjaya menjejak kaki ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia.

"Jadi secara keseluruhannya, para pemain telah memperolehi RM450,000 di atas kejayaan mereka tahun ini. Ini sekaligus membuktikan pada setiap kejayaan yang dibawa balik itu ada ganjarannya," kata beliau kepada para pemain Negeri Sembilan dalam satu majlis makan tengah hari di sini hari ini.

Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 3-1 dalam perlawanan penuh aksi di Stadium Bukit Jalil pada 7 November baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad menambah, persatuan bolasepak negeri telah memutuskan untuk memperbaharui kontrak jurulatihnya Wan Jamak Wan Hassan untuk tempoh dua tahun lagi.

"Kita juga akan mengekalkan hampir kesemua pemain kita disamping mendaftarkan 20 pemain pada musim baru nanti," ujar beliau. Kata Mohamad, walaupun setiap pasukan dibenarkan mendaftar 25 orang pemain setiap musim, tetapi pihak persatuan ingin mengosongkan lima tempat lagi kepada prospek pemain baru.

Mengenai kedudukan penyerang Hairuddin Omar yang kini dipinjamkan dari Pasukan Terengganu T-Team, Mohamad berkata segala-galanya terserah kepada Hairuddin sama ada untuk terus bersama mereka pada musim akan datang.

Pemain berusia 30 tahun itu telah membentuk gandingan ‘maut’ bersama Mohd Zaquan Adha Radzak untuk pasukan Negeri Sembilan tahun ini malah turut menjaringkan gol pada pertandingan akhir Piala Malaysia.

Kontrak Hairuddin bersama pasukan Negeri Sembilan berakhir 7 November lalu. Beliau menyertai Negeri Sembilan pada siri pertandingan Piala Malaysia sahaja.

Mohamad juga mengumumkan bahawa pasukannya akan menyertai pertandingan di Bandung, Indonesia sebelum musim baru bermula.

"Mereka akan bermain tiga atau empat perlawanan di sana dan kita berharap pertandingan ini akan menjadi gelanggang untuk memanaskan badan menjelang musim baru nanti,” katanya.

Negeri Sembilan akan menjadi hos kepada Selangor pada perlawanan pembukaan mereka pada musim baru ini yang dijadualkan bermula Januari ini. Perlawanan itu juga akan menentukan siapakah pemenang Piala Sumbangsih.

Mohamad turut mengumumkan bahawa Negeri Sembilan akan mempunyai jersi baru tahun depan.

"Pemain kita akan memakai jersi kuning, seluar hitam dan stokin kuning untuk perlawanan di tempat sendiri dan warna merah-hitam-merah untuk perlawanan tempat lawan," katanya.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan