suria

KBS Tidak Sepatutnya Cuci Tangan Biar Kami Rugi

KUALA LUMPUR: Syarikat yang ingin menganjurkan Kejohanan Sukan Perpaduan Remaja Islam di negara ini mendakwa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) 'lepas tangan' apabila enggan membantu pihaknya mendapatkan kelulusan rasmi Persekutuan Sukan Perpaduan Islam (ISSF) untuk menjadi penganjur kejohanan itu pada 2011.

Ketua pegawai eksekutif Ramcel Media Sdn Bhd Datuk Dr Raja Mohamad Abdullah berkata KBS melalui menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak sepatutnya menolak terus permohonan syarikat itu untuk mendapatkan kelulusan rasmi daripada ISSF.

"KBS sepatutnya berbincang dengan kami terlebih dahulu untuk mendapatkan gambaran sebenar penganjuran sukan tersebut dan bukan terus menutup pintu rundingan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Ahmad Shabery semalam menolak permintaan syarikat itu untuk campur tangan bagi mendapatkan kelulusan rasmi daripada ISSF atas alasan kejohanan berkenaan dianjurkan pihak swasta dan bukan keutamaan kementerian tersebut.

Dr Raja Mohamad mengulangi dakwaan bahawa pihaknya telah mendapat surat persetujuan rasmi daripada KBS bertarikh 5 Mac 2009 bagi menganjurkan kejohanan itu.

"Menteri Belia dan Sukan ketika itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah pun membuat persetujuaan dan sanggup memberi kerjasama bagi menjayakan kejohanan ini setelah berpuas hati dengan pembentangan kewangan yang kami buat.

"Tapi kenapa sekarang KBS yang diterajui oleh Ahmad Shabery mengubah keputusan dan bersikap lepas tangan setelah banyak duit telah kami belanjakan bagi mempromosi kejohanan ini," katanya.

Beliau mendakwa telah membelanjakan sebanyak RM300,000 bagi tujuan promosi kejohanan.

Dr Raja Mohamad berkata beliau berharap KBS akan memberi sokongan terhadap usahanya ini kerana ia bakal mendatangkan banyak pulangan keuntungan kepada negara.

"Secara tidak langsung penganjuran sukan ini akan membantu perkembangan industri sukan dan pelancongan sukan di negara ini lebihlebih lagi dari negara Arab.

"Kita amat perlukan bantuan daripada kerajaan kerana tanpa sokongan daripada KBS adalah mustahil untuk kami mendapat persetujuan daripada ISSF," katanya.

Kejohanan itu, yang dijangka memerlukan perbelanjaan sekurangkurangnya RM100 juta, membabitkan 57 negara Islam dengan 11 acara akan dipertandingkan seperti akuatik, badminton, bola sepak, hoki, tenpin boling dan olahraga. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain