suria

Hairudin Omar Kekal Bersama T'Team Musim Depan

KUALA TERENGGANU: Pendatang baru Liga Super 2010, T'Team semalam menandatangani kontrak dengan 25 pemain termasuk Hairudin Omar, menjadi pasukan bola sepak terawal yang mengesahkan barisan pemainnya musim depan.

Pengurus pasukan T'Team, Datuk Rahin Mohd Said berkata Hairudin telah mengesahkan akan terus bersama T'Team walaupun sebelum ini disebut-sebut akan bersama Negeri Sembilan selepas membantu negeri itu muncul juara Piala Malaysia musim ini.

"Suka saya tegaskan bahawa Hairudin telah memberikan pengesahan akan bersama pasukan T'Team tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak pemain pasukan itu di sini, semalam.

Hairudin bagaimanapun, tidak menghadiri majlis itu kerana masih berada di Negeri Sembilan untuk meraikan kemenangan pasukan negeri Sembilan yang menewaskan Kelantan pada perlawanan yang diadakan di Stadium Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Rahin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri menjelaskan Hairudin masih lagi terikat dengan T'Team.

Beliau berkata antara pemain baru yang membarisi T'Team tahun depan ialah Harizul Izuan Abd Rani dari Proton FC, Abd Hadi Yahya (Kuala Lumpur) dan Shaiful Ezrain Shamsudin (Kuala Muda Naza).

Katanya T'Team sedang berbincang dengan seorang lagi pemain yang serba boleh dan pernah mewakili sebuah pasukan pantai timur untuk melengkapkan barisan 26 pemain pasukan.

Barisan pemain pasukan T'Team musim 2010 ialah Md Shamsuri Mustafa, Ismail A Rahman, Mohd Shahril Sa'ari, Norfazli Alias, Mohd Nuraliff Zainal Abidin, Mohamad Hasbullah Awang, Mohd Faisal Sulaiman, Mohd Shahrul Ezrein Shamsudin, Suberi Sulong, Abdul Alif Alias.

Ahmad Shahril Zakaria, Mohd Shazlan Alias, Rosdi Talib, Mohd Norhisham Hassan, Mohd Shahalrizam Mat Rani, Mohd Kamal Rodiarjat Md Ali, Azrul Hazran Amiludin Baki, Ismail Faruqi Ashari, Shamsul Kamal Mohamad, Harizul Azuan Abd Rani, Abd Hadi Yahya, Mohd Haris Safwan Md Kamal, Hairudin Omar, Mohd Zulkifli Abdullah dan Shaiful Ezrain Shamsudin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain