suria

Bajet kecil bukan halangan Lotus F1 Racing takluki podium

KUALA LUMPUR: Ketika 1Malaysia Racing Team Sdn Bhd (1MRT) mengumumkan modal permulaan RM168 juta untuk memulakan projek Lotus F1 Racing yang akan beraksi pada Kejohanan Formula Satu (F1) 2010, banyak pihak tertanyatanya, adakah bajet itu mencukupi?

Tambahan pula, syarikat itu yang dimodali tiga pelabur individu dari negara ini tanpa bantuan modal kerajaan, menganggarkan bajet pasukan cuma RM308 juta setahun.

Sedangkan orang kuat F1, Bernie Ecclestone pernah berkata sesebuah pasukan F1 memerlukan bajet sekurang-kurangnya AS$300 juta (lebih RM1 bilion) untuk beraksi sepenuhnya dalam 17 atau 18 pusingan semusim pada Kejohanan F1 Dunia.

Dengan bajet kecil itu mampukah 1MRT mengharungi kesemua pusingan Kejohanan F1 Dunia musim depan ataupun hanya untuk menghadapi satu perlumbaan bagi Kejohanan F1 Malaysia di Litar Sepang?

Kenyataan itu disangkal keras oleh seorang daripada pengarah 1MRT, Datuk Kamarudin Meranun yang menegaskan Lotus F1 Racing diwujudkan bagi memenangi perlumbaan dan bukannya sekadar menyertai perlumbaan. Dalam satu temuramah dengan Bernama baru-baru ini, beliau mengakui bajet awal 1MRT kecil tetapi syarikat itu mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi masalah kekurangan dana.

Menurutnya 1MRT kini berusaha mendapatkan tajaan bagi menambah dana daripada pelbagai pihak korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sebelum ini terdapat pihak tertentu yang mempersoalkan tindakan 1MRT meminta tajaan daripada GLC seperti Petronas atas alasan 1MRT merupakan syarikat persendirian dan meminta tajaan Petronas seolaholah meminta wang rakyat negara ini.

"Apakah salah jika 1MRT meminta tajaan daripada GLC seperti Petronas?" Kamarudin bertanya.

Beliau berkata jika terdapat pihak yang mengatakan 1MRT tidak berhak memohon tajaan Petronas, perhatikan fakta berikut.

Petronas pernah menjadi rakan kongsi kepada pasukan F1, Sauber Petronas dan kemudian menjadi rakan utama pasukan BMWSauber.

"Jika Petronas boleh menaja syarikat asing dalam perlumbaan F1, mengapa syarikat petroleum nasional itu tidak boleh menaja sebuah syarikat tempatan?" soalnya.

Ditanya mengenai tindakan pasukan gergasi F1 seperti BMW, Honda dan Toyota menarik diri daripada perlumbaan musim depan atas alasan kewangan, Kamarudin memberi penjelasan berikut.

"Ketiga-tiga pasukan tersebut memang syarikat gergasi tetapi pasukan lain yang mempunyai bajet lebih kecil seperti Williams terus bersaing pada musim depan.

"Bagaimanakah syarikat kecil, (dengan) bajet yang kecil mampu meneruskan cabaran? Tentu mereka mempunyai strategi tertentu," katanya.

1MRT, kata Kamarudin turut merangka pelbagai strategi untuk menguruskan pasukan dengan bajet yang kecil dan satu daripada caranya ialah meminimumkan kos.

Beliau berkata ramai pakar yang teruja berkhidmat dalam pasukan 1MRT menyatakan kesanggupan untuk mendapatkan gaji lebih rendah daripada yang diperoleh sekarang.

"Ketika 1MRT membuka permohonan iklan pada September untuk mengisi kekosongan 225 jawatan, lebih 6,500 permohonan diterima dalam tempoh singkat dan hampir separuh daripadanya terdiri pakar kejuruteraan Malaysia yang bekerja di luar negara.

"Mereka begitu teruja dengan pasukan Lotus F1 Racing yang dimiliki Malaysia dan menyatakan kesanggupan untuk bekerja dengan gaji lebih rendah daripada yang diperoleh dan ini membolehkan 1MRT menjimatkan perbelanjaan daripada segi bayaran tenaga kerja," katanya.

Langkah itu juga membolehkan Malaysia mengurangkan jumlah teknokrat yang mencurahkan kepakaran mereka di luar negara, katanya.

Selain itu, Kamarudin berkata beliau dan Pengetua 1MRT, Datuk Seri Tony Fernandes, merupakan pemilik bersama Tune Group, syarikat induk bagi syarikat penerbangan tambang murah di Asia, AirAsia.

Kedudukan itu, katanya membolehkan syarikat menjimatkan banyak kos sewaan bagi tujuan logistik, membawa barangan dan krew 1MRT ke serata dunia bagi keseluruhan pusingan Kejohanan F1 Dunia.

Beliau berkata daripada segi pulangan, seramai 600 juta penonton di seluruh dunia menonton siaran perlumbaan F1.

"Walaupun 1MRT dimodali pelabur individu, bayangkan pulangannya kepada Malaysia. "Apabila jentera Lotus F1 Racing berada di atas grid perlumbaan di Bahrain pada permulaan musim Kejohanan F1 Dunia 2010 pada Mac depan, seramai 600 juta penonton akan mengetahui pasukan tersebut adalah milik Malaysia.

"Perlumbaan F1 merupakan satu platform terbaik untuk memberitahu dunia, Lotus adalah kepunyaan Malaysia dan pastinya ia promosi terbaik bagi syarikat kereta nasional negara, Proton yang menguasai Lotus," katanya.

Kamarudin berkata kepercayaan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) memberikan slot ke-13 kepada Lotus F1 Racing membuktikan kepercayaan badan yang mengawal selia sukan permotoran dunia kepada sebuah syarikat yang mengendalikan pasukan F1 dari Malaysia.

"Sebagai pasukan baru, Lotus F1 Racing diberikan slot ke13 sedangkan pasukan Sauber, yang telah beraksi dalam perlumbaan F1 sejak 1993, diberikan slot ke-14. Banyak lagi pasukan lain yang mahu beraksi pada musim 2010, tetapi FIA menetapkan hanya 14 pasukan diberikan kebenaran berada di grid perlumbaan," katanya.

Beliau berkata projek Lotus F1 Racing perlu dilihat sebagai kebanggaan negara dan bukan milik peribadi.

"Projek ini sama seperti program Angkasawan Negara dahulu. Beribu-ribu pemohon mahu menyertainya tetapi hanya seorang rakyat Malaysia (Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha) yang sampai ke angkasa dan seluruh rakyat Malaysia berbangga dengannya.

"Sama seperti Lotus F1 Racing. Ia adalah projek rakyat Malaysia dan kejayaannya di podium kelak menandakan kejayaan rakyat Malaysia menguasai antara sukan perlumbaan termahal di dunia dengan teknologi tercanggih dan jangan lupa, kita bermula kosong, daripada segi kepakaran hinggalah mereka bentuk jentera F1," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain