suria

Pasukan New Zealan Dan Jepun Kuasai Hari Pertama Kelayakan

KUALA TERENGGANU: Pelayar Phil Robertson dari pasukan New Zealand dan Kan Yamada yang mengetuai pasukan J.F.P (JYMA) hari ini menunjukkan kehebatan masingmasing apabila menguasai tangga teratas pungutan mata pada hari pertama Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun Kelayakan Asia di Pulau Duyong di sini.

Kedua-dua pasukan tersebut berjaya memperoleh empat mata selepas menewaskan pencabar masing-masing dalam perlumbaan satu lawan satu dalam pusingan round robin.

Pelayar negara, Hazwan Hazim Dermawan yang mengetuai pasukan Taring Pelangi turut menunjukkan kehebatan apabila berjaya mengumpul dua mata selepas menewaskan dua pencabarnya iaitu Martin H Kaye dari pasukan Hong Kong dan pasukan EM yang diketuai oleh Morten Jakobsen. Bagaimanapun, seorang lagi pelayar negara Mohamad Razali Mansor dari pasukan Malaysian Armed Forces 1 gagal memungut sebarang mata setelah tewas dalam tiga perlumbaan menentang Michael Dunstan dari pasukan Slam Match Race, Kan Yamada dan Phil Robertson.

Michael Dunstan yang mengetuai pasukan Slam Match Race dan Martin pula masing-masing hanya memperoleh satu mata.

Para peserta hari ini hanya dapat melakukan enam daripada 11 pusingan dalam perlumbaan selepas perlumbaan itu terpaksa ditangguhkan selama empat jam ekoran masalah ketiadaan angin.

Pusingan itu akan diteruskan semula pukul 10 pagi esok dan empat pasukan yang berjaya memperoleh mata tertinggi akan layak ke peringkat separuh akhir.

Sementara itu, Hazwan Hazmn, 21, berkata walaupun terpaksa berhadapan dengan pelayarpelayar yang jauh berpengalaman namun pasukannya yang terdiri daripada anak muda yang berumur 20 hingga 25 tahun bersedia untuk memberi saingan.

"Para peserta lain mempunyai kemahiran dan pengalaman yang banyak namun saya yakin dan berharap dapat memasuki peringkat separuh akhir," katanya yang merupakan anak didik kepada pelayar muda negara Nurul Ain Md Isa yang pernah mewakili negara dalam kejohanan Piala Monsun tahun lepas.

Sebanyak tujuh pasukan dari Asia bertarung dalam Kejohanan itu yang berlangsung sehingga 12 November bagi merebut satu slot ke Kejohanan Piala Monsun yang akan diadakan Disember nanti. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain