suria

Piala Malaysia: Kelantan akan dikenakan tindakan berikutan sikap penyokong

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengenakan tindakan terhadap pasukan Kelantan berikutan kelakuan liar penyokong pasukan itu pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata tindakan itu akan ditentukan selepas anggota-anggota Jawatankuasa FAM membincangkan insiden pada perlawanan akhir malam kelmarin secepat mungkin dan menentukan hukumannya.

"FAM sering memberi nasihat kepada penyokong-penyokong Kelantan tetapi sudah tidak dapat dibendung kerana ia (seperti) sudah menjadi satu budaya kepada mereka. Sudah tentu kehadiran 1,400 anggota pasukan keselamatan ataupun sehingga 10,000 tidak mampu untuk mengawal mereka dalam masa serentak," katanya di sini semalam.

Sebaik jaringan gol ketiga Negeri Sembilan menerusi sepakan penalti penyerang Mohd Zaquan Adha pada minit ke-58, berlaku insiden luar dugaan di mana penyokong-penyokong Kelantan membaling pelbagai objek, mercun dan paling teruk membakar kain rentang serta kerusi di satu bahagian stadium itu.

Selain ditonton jutaan rakyat Malaysia menerusi siaran langsung televiyen, insiden tindakan liar penyokong Kelantan juga disaksikan oleh tetamu Diraja iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra dan Tengku Temenggong Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra.

Azzuddin berkata walaupun tiket habis dijual dan mencatat keuntungan namun ia tidak setimpal dengan apa yang telah berlaku.

Ditanya mengenai anggaran nilai kerosakan akibat tindakan liar penyokong Kelantan, Azzuddin berkata perkara tersebut masih pada peringkat siasatan lagi.

"Kami masih belum mendapat laporan lengkap daripada pihak stadium tetapi apa yang saya tahu terdapat kerosakan di bahagian tempat duduk penyokong (kawasan Kelantan)," katanya.

Dalam saingan akhir menutup musim Liga Malaysia 2009 itu, Negeri Sembilan berjaya menjulang Piala Malaysia selepas penantian 61 tahun dengan menewaskan Kelantan 3-1.

Selain jaringan penalti Mohd Zaquan Adha pada minit ke-58, dua lagi gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Shahurain Abu Samah pada minit ke-18 dan Hairuddin Omar (minit ke-46) manakala gol saguhati Kelantan dijaringkan oleh ketua pasukannya Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-93.

Dalam perlawanan akhir itu, hampir 80 peratus daripada 100,000 kerusi di Stadium Nasional dipenuhi dengan penyokong-penyokong Kelantan atau "The Red Warriors' berbanding hanya 15,0000 penyokong Negeri Sembilan atau 'Kijang'. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain