suria

Agong ketuai cabaran kuda lasak Piala Sultan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Yang DiPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam memulakan saingan pada Kejohanan Cabaran Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu.

Baginda, yang mewakili pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTEs) dengan menunggang kuda 'Jakim Murphy', berlepas dengan lancar sebaik sahaja dilepaskan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, pada pukul 5 petang semalam.

Turut berkenan berangkat menyaksikan kejohanan itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dengan diiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Baginda bersama 12 peserta lain akan berlumba sejauh 120 kilometer dan dijangka menamatkan perlumbaan itu pada awal pagi hari ini.

Kejohanan itu, yang diadakan dalam keadaan cuaca yang baik, disertai oleh peserta dari negara Australia, New Zealand, Chile, Uruguay, Amerika Syarikat, Perancis, Thailand, Singapura dan Malaysia.

Pasukan tempatan yang turut beraksi ialah Wilayah Equestrian Team, State Terengganu Endurance Team (STET), Langkawi, Mastercaff Terengganu, Tengku Mahkota Kelantan, Wilayah Persekutuan, D'bali Kelantan, Kedah, ArRaudah, Kimi Stable Kelantan, UDM Terengganu, 3Q Selangor, Selangor Turf Club dan Bukit Kiara Equestrian Resort.

Kejohanan dengan tema "Kuda Sokmo" itu menawarkan hadiah wang tunai US$10,000 (RM34,000) serta piala pusingan kepada juara manakala naib juara akan menerima wang tunai US$7,000 (RM25,000).

Pemenang tempat ketiga pula akan menerima US$5,000 (RM18,000), keempat US$4,000 (RM13,500), dan kelima US$2,000 (RM6,800) serta US$1,000 (RM3,400) bagi peserta yang dapat menamatkan perlumbaan mengikut masa yang ditetapkan.

Majlis penyampaian hadiah kejohanan itu dijadual disempurnakan oleh Tuanku Nur Zahirah di Taman Tamadun Islam, Pulau "Wan Man di sini, petang ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain