suria

Piala Malaysia: Kedah tewas kepada Kelantan, Negeri Sembilan menang besar

KUALA LUMPUR: Impian Kedah untuk mempertahankan Piala Malaysia semakin pudar apabila gagal mengutip mata setelah tewas 0-1 kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Baharu semalam.

Jaringan tunggal Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-49 sudah cukup untuk membolehkan Kelantan menguasai kumpulan E dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan dua perlawanan yang telah diharungi.

Manakala Kedah kini sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan setelah mencatat keputusan seri pada perlawanan pertama Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sabtu lepas.

Satu lagi perlawanan kumpulan E di Stadium Majlis Perbandaran Selayang menyaksikan ATM hanya mampu seri 1-1 dengan Pulau Pinang.

Negeri Sembilan yang berada dalam kumpulan B pula berpesta gol apabila membelasah Sarawak 8-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi dengan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak membuat hatrik pada minit ke-57, 59 dan 64.

Idris Karim turut menjaringkan dua gol pada minit ke-67 dan 80 manakala masing-masing satu gol oleh S.Kunalan (m27), Mohd Syukor Adan (m50) dan Halim Zainal pada minit ke-71.

Kejayaan itu diekori rapat oleh Terengganu yang turut memungut mata penuh apabila menewaskan Johor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu hasil jaringan Mohd Muhaimim Omar (m5) dan Khairul Irwan Khalid pada minit ke-22.

Di Stadium Shah Alam, juara tiga piala musim ini, Selangor yang berada di kumpulan D turut cemerlang apabila menewaskan PDRM 3-0 hasil jaringan Amirulhadi Zainal (m17), Mohd Safee Sali (m38) dan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-89.

Kuala Muda Naza pula bangkit daripada ketinggalan 01 kepada Sabah untuk mencata kemenangan 2-1 hasil jaringan Liew Kit Kong (m47) dan Farderin Kadir (m75) setelah pelawat mendahului pada minit ke-41 menerusi Wong Sai Kong.

Kumpulan C menyaksikan jaringan tunggal Mohd Badrul Hisham pada minit ke-65 membolehkan Kuala Lumpur mengejutkan Perak dengan keputusan 1-0 di Stadium Perak di Ipoh.

Namun Johor FC masih menguasai kumpulan itu apabila menewaskan UPBMyTEAM 41 di Stadium JCorp, Pasir Gudang untuk mengumpul enam mata daripada dua perlawanan.

Aksi kumpulan A pula menyaksikan Perlis menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Utama, Kangar manakala KL Plus menumpaskan Melaka 4-1 di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur di Cheras. BERNAMA

Artikel Lain