suria

Anuar sedia lanjut kontrak bersama Azad University setahun lagi

KUALA LUMPUR: Pelumba lebuh raya kebangsaan, Anuar Manan bersedia untuk menyambung kontraknya bersama pasukan yang berpangkalan di Iran, Azad University Cycling Team untuk tempoh setahun lagi.

Ia berikutan kontrak setahun pelumba berusia 23 tahun kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu dijangka berakhir pada awal Disember ini.

"Mereka telah menawarkan kontrak baru, namun saya masih belum memberi kata putus kerana mempunyai masa sekurangkurangnya sebulan dua lagi sebelum membuat keputusan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Anuar berkata selain itu beliau juga telah mendapat tawaran daripada satu pasukan yang berpangkalan di Eropah untuk mendapatkan khidmatnya.

"Saya akan mempertimbangkan tawaran itu namun terpaksa membuat penelitian di dalam beberapa aspek seperti dari segi keserasian dan kerjasama berpasukan.

"Malah bersama pasukan Iran ini, saya tidak mempunyai sebarang masalah mendapatkan pelepasan untuk kembali ke Malaysia untuk menyarung jersi kebangsaan apabila dipanggil oleh pasukan kebangsaan," kata pelumba yang lebih dikenali sebagai jaguh pecut lebuh raya.

Anuar berkata selain kemudahankemudahan itu beliau turut dibenarkan untuk menjalani latihan di Malaysia sekiranya mahu, asalkan mengikuti segala program latihan yang telah disediakan oleh pasukan itu.

"Sepanjang bersama pasukan itu juga, saya telah berjaya meningkatkan prestasi terutamanya apabila melibatkan zon pendakian kerana pelumba Iran memang terkenal dengan kepakaran itu," katanya.

Sejak bersama Azad University Cycling Team, Anuar berjaya meraih gelaran raja pecut Jelajah Malaysia 2009, memenangi gelaran individu keseluruhan di Terbuka Perlis, memenangi acara berpasukan di Tour of Singkarak, Medan,Indonesia serta menjuarai beberapa kejohanan di dalam saingan tempatan di Iran. BERNAMA

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain