suria

Sukan bina badan perlu ikon baru

KUALA LUMPUR: Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM) perlu segera mencari ikon baru dalam sukan tersebut terutama bagi menggantikan jaguh bina badan negara yang juga juara Mr Universe sebanyak empat kali, Sazali Abdul Samad yang dijangka bersara dalam tempoh lima tahun lagi.

Setiausaha Kehormat PBBM, Kamaruzaman Kadir berkata tanpa ikon baru seperti Sazali atau Mr Asia sebanyak enam kali, Abdul Malek Noor, masa depan acara sukan bina badan negara mungkin suram.

"Sukan bina badan memerlukan ikon untuk menarik minat masyarakat menyertainya dan atlet seperti Abdul Malek dan Sazali menjadi pendorong sukan ini untuk menjulang nama Malaysia di pentas dunia," katanya.

Abdul Malek bergelar Mr Asia enam kali dalam kategori heavyweight dalam tempoh antara 1985 dan 1991 manakala Sazali merupakan juara Mr Universe bagi kategori bantamweight 65kg bermula di Melaka pada tahun 2000, Moscow (2004) dan Ostrava (Republik Czech)(2006) sebelum beralih ke kategori lightweight 70kg pada awal 2007 dan merangkul gelaran Mr Universe kali keempat pada kejohanan di Jaeju, Korea Selatan pada Februari 2008.

Kamaruzaman berkata walaupun PBBM mengadakan tiga sirkit kebangsaan pada April, Jun dan Oktober depan bagi tujuan mencari jaguh bina badan pelapis, tidak semua atlet yang bergiat dalam sukan tersebut mempunyai potensi untuk digilap seperti Sazali.

"Masalah utama mencari atlet bina badan ialah mencari atlet yang mempunyai genetik yang sesuai untuk digilap. Bukan semua atlet mempunyai kelebihan genetik ini," katanya.

Katanya pemerhatian PBBM pada sirkit kebangsaan mendapati ramai pembina badan tidak mempunyai kesesuaian dan keseragaman dari segi tinggi dan lebar badan. "Ada yang tinggi tetapi badan tidak lebar. Ada yang rendah tetapi bukaan badan terlalu lebar menyebabkan ketidak seragaman," katanya.

Namun Kamaruzaman berkata antara atlet pelapis bina badan yang berpotensi untuk menggantikan Sazali yang kini berusia 42 tahun ialah Buda Anchah dari Sarawak.

Buda, 36, kini mewakili Angkatan Tentera Malaysia dalam kejohanan kebangsaan tetapi mempunyai masalah konsistensi dalam kariernya sebagai atlet bina badan.

Contohnya pada acara bina badan pada Sukan Pantai Asia di Bali pada Februari lepas, Buda meraih tempat kelima, pada Sukan Bina Badan SEA di Pattaya, Thailand pada awal bulan lepas, dia mendapat tempat ketujuh. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain