suria

Skuasy: Nicol David lepasi halangan pertama

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David melepasi halangan pertama kejohanan Wanita Dunia Tebuka di Amsterdam, Rabu.

Menurut laman web rasmi kejohanan, www.womensworldopen.com, Nicol, 25, menang mudah ke atas Orla Noom dari Belanda 11-6,11-4 dan 11-6 dalam masa 26 minit di atas gelanggang kaca di Frans Otten Stadion.

"Selepas tewas minggu lepas (Terbuka British), saya perlu berusaha untuk mencapai matlamat saya seterusnya. Saya perlu mempamer aksi mantap," katanya yang dipetik laman web tersebut.

Hari ini Nicol akan bertemu juara Eropah, Camille Serme yang menewaskan rakannya dari Peranchis, Isabelle Stoehr 8-11, 13-11, 11-7 dan 11-7.

Terdahulu seorang lagi pemain Malaysia Delia Arnold tewas kepada pemain England, Jenny Duncalf 4-11, 3-11 dan 4-11 dalam masa 19 minit.

Jenny akan bertemu Omneya Abdel Kawy dari Mesir di pusingan kedua yang menewaskan rakan senegara Nur El Tayeb 11-7, 11-9, 9-11 dan 11-4. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain