Sukan SEA: Judo belum berani akhiri 26 tahun kemarau emas

Diterbitkan: Ahad, 20 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selepas kali terakhir memenangi emas daripada temasya Sukan SEA pada 26 tahun lepas, Persekutuan Judo Malaysia masih belum berani untuk memecah kebuntuan tersebut pada Sukan SEA di Laos, Disember ini.

Setiausaha eksekutif persekutuan tersebut, I. Mariappan berkata pihaknya hanya menyasar untuk mempertahankan tiga pingat gangsa yang dimenangi dari edisi di Korat, Thailand pada 2007.

"Pada edisi di Manila, Filipina pada 2005, judo turut meraih tiga gangsa. Jadi di Laos juga, kami sasarkan tiga gangsa," katanya di sini.

Sebagai rekod, kali terakhir judo meraih emas daripada temasya Sukan SEA ialah pada edisi 1981 di Manila, Filipina dengan satu pingat emas.

Mariappan mengakui acara judo kurang popular di negara ini menyebabkan persekutuan agak sukar mencari atlet yang berwibawa.

Beliau berkata ketika ini terdapat dua jurulatih judo dari Jepun, seorang berpusat di Sekolah Sukan Bandar Penawar di Johor dan seorang lagi di Pulau Pinang.

Mengenai saingan di Laos, Mariappan berkata Malaysia akan menghadapi saingan sengit daripada Vietnam, Thailand dan Filipina.

"Sukan judo lebih popular di negara tersebut," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatihnya K.Thevaraj berkata empat atlet judo negara terpilih ke Laos.

Dua daripadanya, Marjan Abdullah dan Normaizura Zainon berada di dalam kategori A sementara Chong Wai Kit dan Fakhrul Izzat Affendi dalam kategori B.

Atlet dalam kategori A akan ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sementara atlet dalam kategori B perlu menanggung sendiri perbelanjaan tetapi MOM akan membayar kembali jika mendapat pingat emas atau perak.

Thevaraj berkata harapan untuk meraih gangsa di Laos akan digalas oleh Marjan, Normaizura dan Chong Wai Kit kerana ketigatiganya telah mewakili Malaysia di Sukan SEA sejak edisi di Manila pada 2005. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan