suria

Peter Butler letak jawatan ketua jurulatih Kelantan

KOTA BAHARU: Kelantan kehilangan ketua jurulatih Peter James Butler yang telah meletak jawatan serta merta ketika pasukan itu memerlukan khidmatnya bagi menghadapi saingan Piala Malaysia mulai 26 Sept ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata jurulatih dari England itu telah menghantar surat peletakan jawatan melalui faksimili kelmarin.

"Butler memberikan alasan isterinya sedang sakit dan keadaan ini telah memberikan tamparan kepada pasukan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.

"Bagaimanapun KAFA akur untuk melepaskannya dan menerima peletakan jawatannya," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Annuar berkata kontrak jurulatih itu sepatutnya berakhir November ini dan telah melantik penolong jurulatih, Hashim Mustapha, bagi menggantikan tempat Butler. Dia akan dibantu oleh jurulatih Piala Presiden, Kamaruddin Md Noor.

Katanya KAFA bagaimanapun melihat perkara itu daripada sudut positif dan percaya ia sebagai rahmat untuk menaikkan lagi semangat pemain.

"Peranan Butler sangat bermakna buat Kelantan yang bersamanya semangat pemain begitu tinggi dan kita berharap pemain akan bermain bersungguh-sungguh walaupun tanpanya," katanya.

Beliau berkata Hashim akan meneruskan sistem latihan serta taktikal permainan seperti yang diterapkan oleh Butler dengan sedikit proses penambahbaikan untuk memantapkan lagi pasukan.

Annuar juga berkata pihak pengurusan telah membuat keputusan untuk memberikan bonus yang lebih lumayan kepada pemain yang beraksi membantu pasukan dalam misi Piala Malaysia.

Sementara itu, khabar angin di kalangan peminat tempatan hangat memperkatakan bahawa Butler telah menerima tawaran lebih lumayan dari sebuah kelab di Myanmar.

Laman web rasmi Yangoon United FC mengesahkan bahawa Butler telah menandatangani kontrak selama setahun selaku Pengarah Teknikal kelab itu pada 16 Sept lalu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain