suria

Liga Super: Terengganu hanya kutip RM240,000 musim ini

KUALA TERENGGANU: Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) hanya memperoleh hasil kutipan tiket sebanyak RM240,000 sepanjang pertandingan Liga Super musim ini.

Yang Dipertua PBSNT Datuk Che Mat Jusoh mendakwa kutipan paling merosot dalam sejarah persatuan itu adalah berpunca daripada penggunaan stadium baru Stadium Sultan Mizan di Gong Badak.

Katanya sejak lokasi perlawanan tuan rumah dipindahkan dari Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah ke stadium baru itu pada April lepas, ramai penonton masuk secara percuma dengan memanjat tembok stadium atau masuk melalui celah pagar ekoran kelemahan kawalan.

"Biasanya sebelum ini kita boleh kutip sehingga hampir RM1 juta, bolehlah buat bayar gaji pemain dan jurulatih," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat eksekutif PBSNT di sini pada hari Jumaat.

"Sekarang kita hanya peroleh tidak sampai separuh pun daripada jumlah tersebut. Belum lagi termasuk kos untuk membayar gaji pekerja dan pegawai bertugas," katanya.

Katanya, bagi menyambut Aidilfitri, PBSNT telah membayar separuh gaji pemain dan jurulatih disebabkan sumber kewangannya tidak mengizinkan.

Beliau berkata PBSNT mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri sebab membantu membayar gaji pemain memandangkan persatuan tidak mempunyai kewangan yang kukuh pada masa sekarang.

Che Mat berkata mesyuarat turut membincangkan persiapan menghadapi pertandingan Piala Malaysia yang akan bermula 26 Sept ini serta mengadakan pertemuan dengan pemain.

Dalam pertemuan itu, beliau meminta pemain supaya bersedia dan memberikan fokus kepada pemainan dan bersemangat menghadapi saingan itu.

"Saya tidak mahu melihat pemain membawa perkara buruk ke tengah padang, sebaliknya bermain untuk mengharumkan nama majikan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain