suria

Zambry mahu Nizar hentikan fitnah mengenai jawatan presiden Pafa

PENGKALAN HULU: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mahu anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menghentikan segala fitnah yang dilemparkan terhadapnya berhubung jawatan presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa).

Katanya beliau tidak berminat untuk merebut jawatan itu walaupun kini menjadi Menteri Besar.

"Saya harap Nizar berhenti membuat tuduhan dan fitnah terhadap saya dan saya telah jelaskan bahawa saya tidak berminat langsung untuk berebut jawatan itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan surat hak milik tanah kepada 88 penduduk daerah Hulu Perak di pejabat daerah Pengkalan Hulu di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dibuat Mohammad Nizar dalam sebuah akhbar yang mendakwa Zambry ingin merebut jawatan tersebut.

Bagaimanapun, Zambry berkata bekas menteri besar itu ada menulis surat kepadanya mengenai kedudukan Pafa barubaru ini dan secara sinis menteri Besar itu berkata Mohammad Nizar yang juga anggota Parlimen Bukit Gantang itu sudah mengakui siapa yang menjadi menteri besar pada masa sekarang. Pada 1 Julai lepas, Zambry telah meminta Mohammad Nizar melepaskan jawatannya sebagai presiden PAFA sertamerta bagi membolehkan individu lain memainkan peranan bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah terhadap prestasi kewangan persatuan yang kini dikatakan tenat.

Selain itu, prestasi pasukan Perak dalam kancah Liga Super musim ini dikatakan mulai menurun selepas pemain mendapat maklumat bahawa Pafa hanya mempunyai peruntukan untuk membayar gaji mereka sehingga Mei.

Mohammad Nizar mengambil alih pucuk pimpinan Pafa pada 16 Nov 2008 setelah menang tanpa bertanding bagi jawatan itu pada Kongres Tahunan Pafa. BERNAMA

Artikel Sebelum

Liga Perdana England

Artikel Lain