suria

Malaysia mahu 30 peratus atlet kebangsaan dari pelajar IPT, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA: Malaysia kini dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet kebangsaan yang mempunyai latar belakang pendidikan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia adalah bagi melahirkan lebih ramai 'thinking athletes' untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa.

"Jadi sekurang-kurangnya 30 peratus daripada atlet kebangsaan perlu merupakan mereka yang menuntut di peringkat IPT," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan di sini semalam.

Muhyiddin berkata bagi tujuan itu mesyuarat hari ini meluluskan Dasar Pembangunan Sukan di IPT yang dibentangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk dilaksanakan berlandaskan tujuh teras yang ditetapkan.

"Antaranya adalah membudayakan sukan, membangunkan infrsutruktur sukan serta menyediakan skim insentif kepada altet di institusiinstitusi yang terbabit," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata mesyuarat semalam turut bersetuju menubuhkan Majlis Sukan Universiti Asean yang pertama berpangkalan di Malaysia bagi menyelaraskan aktiviti sukan untuk IPT di rantau Asia Tenggara.

Untuk rekod, sehingga kini terdapat 77 atlet kebangsaan yang mempunyai latar belakang pendidikan IPT iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan lebih 500 orang.

Antara atlet-atlet yang masih menuntut di IPT ialah jaguh lompat bergalah wanita negara Roslinda Samsu, dua atlet taekwando Elaine Teoh dan Che Chew Chan serta dua atlet memanah, Cheng Chu Sian dan Wan Mohd Khalmizan Wan Abdul Aziz.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkata itu berkata pembentangan oleh KPT itu adalah sesuatu yang komprehensif, di mana dalam beberapa perkara pula ia perlu fleksibel.

"Perkara-perkara seperti kelayakkan untuk memasuki universiti, adakah memerlukan kelayakkan yang tinggi sekiranya individu berkenaan boleh memberi sumbangan kepada negara.

"Begitu juga tempoh seseorang atlet menghabiskan pelajarannya sama ada boleh disesuaikan atau sebaliknya tanpa terikat dengan tempoh pengajian biasa, namun semua perkara ini perlu diperhalusi," katanya. Beliau turut memberi contoh bagaimana atlet berusia 17 tahun dari Amerika Syarikat, Melanie Oudin di kejohanan tenis Terbuka Amerika Syarikat yang berjaya menumbangkan beberapa pemain bertaraf dunia Maria Sharapova dan Elena Dementieva.

"Ini adalah contoh di negara itu mempunyai fleksibel sedangkan di dalam konteks Malaysia atlet yang berumur 17 tahun mungkin masih lagi terpaksa mengambil peperiksaan dan kelas tambahan," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai penggunaan dadah terlarang oleh pelumba berbasikal trek kebangsaan, Ahmad Shabery berkata tiada jalan singkat bagi seseorang atlet itu untuk berjaya.

Beliau berkata ini menunjukkan Malaysia telus terutamanya di dalam melaksanakan ujian berkaitan dadah terlarang.

Mohd Fauzan kini berdepan hukuman gantung selama dua tahun setelah didapati menggunakan bahan terlarang anabolic steroid pada Mini Olimpik yang berlangsung awal bulan lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Liga Perdana England

Artikel Lain