suria

Atlet perlu hindari penggunaan dadah terlarang, kata Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Semua atlet wajar memberi perhatian yang sepenuhnya mengenai aspek larangan terhadap pengambilan dadah terlarang untuk tujuan sukan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

"Ini merupakan satu peringatan kepada semua atlet bahawa tidak ada jalan singkat untuk mencapai kejayaan," katanya semasa mengulas insiden pelumba basikal negara Mohd Fauzan Ahmad Lutfi yang didakwa positif mengambil dadah terlarang.

Mohd Fauzan kini berdepan hukuman gantung selama dua tahun setelah didapati menggunakan bahan terlarang anabolic steroid pada Mini Olimpik yang berlangsung awal bulan lepas.

Shabery berkata dalam menjadikan Malaysia sebuah negara sukan yang bebas daripada dadah, para atlet negara perlu mematuhi piawaian atau standard yang dipersetujui bersama di peringkat antarabangsa seperti Agensi AntiDadah Antarabangsa (Wada).

Bercakap kepada pemberita di sini semalam Shabery berkata tindakan terhadap Mohd Fauzan adalah sejajar dengan peraturan-peraturan yang sedia ada.

"Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa beliau walaupun beliau memberikan alasan-alasan kenapa berbuat demikian. Perkara ini memberi satu pengajaran kepada beliau dan juga lain-lain atlet," tambahnya.

Sementara itu Mohd Fauzan dalam satu kenyataan akhbar semalam berkata beliau reda dengan hukuman yang akan dikenakan terhadap beliau.

"Saya akui di atas kesilapan dan ketidakmatangan ketika melakukan kesalahan ini dan memohon ribuan maaf kepada semua pegawai sukan khususnya berbasikal, rakan-rakan pelumba dan peminat sukan lumba basikal.

"Saya juga menerima dengan hati yang reda apa saja hukuman yang akan dikenakan, disamping ingin meminta jasa baik untuk meringankan hukuman ke atas diri saya. Saya masih muda dan ingin kembali ke arena berbasikal sebaik selesai tempoh penggantungan kerana inilah sukan yang saya cintai," katanya.

Menurut Mohd Fauzan, akibat daripada kecederaan lutut yang dialaminya pada Oktober tahun lepas dan tidak dapat berkayuh selama lima bulan, beliau terpaksa mencari alternatif perubatan lain selain rawatan pakar di Institut Sukan Negara (ISN).

"Tanpa saya sedari, ubat yang saya ambil itu menyebabkan saya diuji positif untuk dadah jenis nandrolone semasa kejohanan Mini Olimpik tempoh hari. Perkara ini amat saya kesali. Saya juga ingin menyatakan bahawa sebelum ini saya tidak pernah menggunakan apa-apa jenis dadah perangsang terlarang," katanya.

Menerusi ujian dijalankan ISN selepas kejohanan Mini Olimpik di Pusat Kawalan Doping Universiti Sains Malaysia (USMDCC), sampel air kencing terbabit mengandungi 19norandrosterone, sejenis metabolite Nandrolone yang juga anabolic steroid, sejenis bahan terlarang disenaraikan oleh Wada.

ISN turut mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan mengenakan tindakan penggantungan serta-merta sehingga proses siasatan selesai dilakukan dan jika didapati bersalah, atlet berkenaan boleh dikenakan penggantungan selama dua tahun.

Kes yang membabitkan Mohd Fauzan bukan sesuatu yang baru dalam dunia sukan tanah air.

Sebelum ini, tiga penembak wanita kebangsaan, Bibiana Ng, Joseline Cheah dan Siti Nur Masitah Badrini turut digantung dua tahun atas kesalahan menggunakan propranonol dan begitu juga dengan bekas pemenang tiga pingat emas acara angkat berat Sukan Komanwel Manchester, Amirul Hamizan Ibrahim. BERNAMA

Artikel Sebelum

Liga Perdana England

Artikel Lain