suria

Sasaran 12 pingat emas realistik, Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Sasaran 12 pingat emas di temasya Sukan Para Asia Remaja kedua di Tokyo, Jepun adalah cukup realistik, berdasarkan kepada persediaan yang dibuat atlet.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kontinjen Malaysia memenangi 35 pingat emas pada edisi lepas kerana pada waktu itu hanya sembilan negara sehaja yang mengambil bahagian, namun kini ia disertai 37 buah negara.

"Sudah tentu saingannya lebih sengit lagi. Bagi saya, 12 pingat emas itu adalah sasaran yang realistik," katanya pada satu persidangan akhbar selepas menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada ketua kontinjen negara, Bong Muk Shin di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara di sini, semalam.

Temasya Sukan Para Asia Remaja akan berlangsung dari 8 hingga 15 September ini.

Kontinjen negara berjaya meraih 35 pingat emas, 36 perak dan 28 gangsa pada edisi pertama Sukan Para Asia Remaja yang diadakan di Hong Kong pada 2002.

Pada edisi berkenaan, hanya tiga acara sukan dipertandingkan iaitu olahraga, renang dan boccia.

Di Tokyo, Malaysia akan mengambil bahagian dalam lima daripada enam acara yang dipertandingkan iaitu boccia, goalball, olahraga, renang dan tenis berkerusi roda yang menjadi sukan pertunjukan di temasya berkenaan.

Malaysia tidak menghantar penyertaan dalam acara pingpong.

Menyentuh mengenai penularan wabak selsema babi atau influenza A (H1N1) Ahmad Shabery berkata, langkah berjagajaga tetap diambil bagi memastikan semua atlet, pengiring dan pegawai bebas daripada gejala penyakit itu.

"Sebagai langkah berjagajaga, empat pegawai Institut Sukan Negara (ISN) ditugaskan mengiringi kontinjen Malaysia ke Jepun," katanya. BERNAMA

Artikel Lain