suria

Cubaan Beng Hee pertahan kejuaraan Skuasy Terbuka Malaysia gagal

PETALING JAYA: Juara bertahan lelaki Ong Beng Hee gagal dalam percubaannya untuk mengekalkan kejuaraan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2009 selepas kalah kepada pemain Mesir, Wael El Hindi dalam perlawanan suku akhir di sini semalam.

Pemain yang ketika ini berada pada kedudukan ke14 dunia, tumpas kepada Wael 9-11, 14-12, 11-8, 6-11, 9-11 dalam pertarungan sengit lima set yang berakhir selama satu jam 48 minit.

"Saya bermain dengan baik, mengambil kira betapa 'lasaknya' perlawanan itu. Banyak kali, Wael tidak memberi saya peluang untuk mendapat bola. Kami berdua bermain dengan baik dan saya tewas kepadanya satu atau dua mata.

"Pengadil tidak mengawal perlawanan dan membenarkannya untuk berhenti dan memulakan perlawanan beberapa kali. Hari ini, saya sudah menghampiri 10 pemain terbaik namun agak ketinggalan sedikit. Harap-harap di masa depan saya dapat melakukannya dengan lebih baik. Saya hanya perlu bekerja keras," kata Beng Hee selepas perlawanan itu.

Wael memenangi set pertama 11-9, namun Beng Hee bangkit semula dengan gagah untuk memenangi set kedua dan ketiga dengan 14-12 dan 11-8 sebelum Wael kembali menguasai permainan untuk memenangi perlawanan seterusnya 11-6, 11-9.

Selepas ini, Wael akan bertemu pemain nombor lima dunia dan pilihan kedua kejohanan, Nick Matthew dari England dalam perlawanan separuh akhir hari ini.

"Kejohanan tahun ini sememangnya sangat sengit. Dalam venue seperti ini, semua orang mahu jadi pemenang. Esok hari yang baru, InsyaAllah segalagalanya akan berjalan lancar.

"Buat masa ini, saya perlu berehat secukupnya dan mengkaji permainan Matthew kerana sudah agak lama saya tidak bermain dengannya. Namun saya ternantinantikan perlawanan esok (hari ini)," kata Wael.

Dalam satu lagi perlawanan suku akhir, Matthew menumpaskan Aamir Atlas Khan dari Pakistan dalam perlawanan straight set 11-5, 11-8, 11-9. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain