suria

Beregu pelapis negara cipta sejarah pada kejohanan terbuka Thailand

BANGKOK: Gandingan baru Chan Peng Soon dan Lim Khim Wah mencipta sejarah apabila muncul sebagai beregu negara pertama menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Thailand di semalam.

Beregu pelapis negara itu mengekalkan kecemerlangan mereka sepanjang kejohanan apabila mengejutkan beregu veteran negara dan pilihan utama Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah 20-22, 21-14 dan 21-11 dalam masa 38 minit pada perlawanan akhir.

Peng Soon, 21, yang tersingkir daripada separuh akhir beregu campuran semalam, dan gandingannya Khim Wah menerima hadiah wang tunai terbesar dalam karier mereka dengan membawa pulang US$8,160 (RM28,865) manakala Tan Fook dan Wan Wah menerima US$4,560 (RM16,130).

"Kami memang menjangka menunjukkan persembahan baik di sini tetapi menjuarai kejohanan ini sudah tentu merupakan pencapaian terbesar kami...lebihlebih lagi menentang beregu berpengalaman," kata Peng Soon yang menyertai pasukan pelapis negara awal tahun ini.

Katanya kejayaan itu akan mendorong mereka supaya bekerja lebih keras dan meningkatkan keyakinan untuk menjadi beregu nombor satu dunia pada satu masa nanti.

Khim Wah pula berkata mereka mampu menunjukkan persembahan cemerlang kerana tiada tekanan.

"Kami hanya bermain seperti biasa dan mahu melakukan kejutan," kata pemain dari Pulau Pinang yang mencipta sejarah menjadi beregu pertama negara mencapai gelaran itu sejak kejohanan itu bermula pada 1984.

Semalam, beregu pelapis itu mengecewakan naib juara Terbuka Malaysia dan beregu ranking ke-16 dunia, Alven Yulianto dan Hendera Gunawan dari Indonesia pada saingan separuh akhir.

Dalam pada itu, Wan Wah berkata beregu pelapis itu mempamerkan permainan yang pantas dan agresif sehingga memaksa mereka melakukan kesilapan.

Dalam acara perseorangan lelaki, pemain tuan rumah Boonsak Ponsana gagal dalam percubaan ketiga merangkul gelaran selepas tunduk 16-21, 13-21 kepada Nguyen Tien Minh dari Vietnam pada perlawanan akhir.

Dalam pada itu, pemain China, Liu Jian, menjuarai acara perseorangan wanita dengan menewaskan rakan senegara Wang Rong 21-16, 21-18. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain