suria

Liga hoki kebangsaan mula November ini, kata Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR: Kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) dijangka dimulakan November ini selepas selesai pusingan kelayakan Piala Dunia 2010, kata presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Kejohanan LHM hanya akan dimulakan selewat-lewatnya November depan selepas semua perkara diperhalusi dan dimuktamadkan.

"Setakat ini, kita masih dalam usaha memperelokkan liga berkenaan," kata Tengku Abdullah pada sidang media selepas melancarkan pasukan hoki UniKLIBIL di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini, semalam.

Menurut Tengku Abdullah, dengan penyertaan pasukan UniKLIBIL akan menjadikan tujuh pasukan yang bakal berentap. Bagaimanapun, baginda mengharapkan satu lagi pasukan akan ditubuhkan bagi LHM.

Terdahulu, baginda turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) usahasama latihan profesional antara UniKL dan IBIL (M) Sdn Bhd dan Juniper Network Malaysia serta MoU dan dokumen tajaan dengan IBIL dan Universal Fitness and Leisure Sdn Bhd (UFL).

"Kita belum menetapkan tarikh untuk LHM. Persiapan pemain untuk perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia itu tidak akan diganggu. Penyertaan untuk LHM masih lagi terbuka," katanya.

Terdapat tiga pusingan kelayakan Piala Dunia 2010 New Delhi akan diadakan iaitu di Lille, Perancis dari 31 Okt hingga 8 Nov dan Invercargill, New Zealand pada 7 hingga 15 Nov.

Sementara venue ketiga pusingan kelayakan Piala Dunia belum lagi ditentukan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah berkata PHM telah menubuhkan Jawatankuasa Disiplin pada mesyuarat Majlis PHM pada 18 Julai lepas.

"Isu disiplin pemain (yang mendapat teguran pihak Majlis Sukan Negara) akan diperhalusi oleh jawatankuasa tersebut dan tindakan disiplin mungkin dikenakan terhadap mereka," katanya.

Adalah difahamkan dua pemain kebangsaan telah melanggar peraturan ketika menjalani latihan di MSN bulan lepas dalam persediaan mereka menghadapi Kejohanan Hoki Cabaran Juarajuara II di Dublin, Ireland, yang berlangsung dari 6 hingga 12 Julai lalu. BERNAMA

Artikel Lain