suria

Sarawak sekat Harimau Muda berpesta awal

KUALA LUMPUR: Sarawak berjaya menyekat Harimau Muda daripada berpesta lebih awal dalam merangkul gelaran juara Liga Perdana musim ini apabila hanya mampu seri 1-1 pada perlawanan di Stadium Negeri di Kuching semalam.

Berbaki hanya satu perlawanan, skuad bimbingan Ong Kim Swee yang kini mengumpul 59 mata perlu sekurang-kurangnya seri di perlawanan akhir menentang Kuala Lumpur pada Jumaat ini untuk dinobatkan sebagai juara Liga Perdana musim ini.

Pada perlawanan semalam, Harimau Muda yang mengharapkan kemenangan terpaksa berhempas pulas untuk menjaringkan gol dan hanya mampu berbuat demikian pada minit ke-63 separuh masa kedua melalui penyerangnya Mahali Jasuli.

Sarawak kembali memberi saingan apabila penyerangnya Zamri Morshidi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-73.

Separuh masa pertama turut menyaksikan dua pemain Sarawak dilayangkan kad merah iaitu Mohd Hendra Bakri pada minit ke-26 dan Mohd Dzulazlan Ibrahim minit ke-34 selain seorang pemain Harimau Muda Gary Steven Robbat yang turut dilayangkan kad merah pada minit ke-26.

Sementara itu, Johor kekal di tangga ketiga setelah menumpaskan SDM Kepala Batas 4-1 di Stadium Tan Sri Datuk Hj Hassan Yunos, Johor Bharu.

Di stadium Cheras, Kuala Lumpur menewaskan Sabah 2-0.

Pasukan Proton FC pula menang 3-1 ke atas Selangor PKNS di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Shahzan Muda pula menumpaskan Melaka 2-0 di Stadium Melaka manakala ATM pula gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila tewas 0-2 kepada Felda United di Stadium Selayang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain