suria

Bola sepak: Malaysia tewaskan Zimbabwe 4-0

KUALA LUMPUR: Malaysia menewaskan Zimbabwe 4-0 pada perlawanan pusingan pertama bola sepak persahabatan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras di sini semalam.

Menjelang pertemuan dengan pasukan Manchester United pada 18 Julai ini, barisan pemain yang diturunkan K. Rajagopal mengawal perlawanan sejak wisel permulaan sehingga tamat permainan.

Dua pemain senior, penyerang tengah yang juga ketua pasukan Selangor Mohd Amri Yahya dan penyerang pasukan Kelantan Indra Putra Mahyuddin memperoleh beberapa peluang keemasan, tetapi gagal menembusi jaring lawan.

Pemain pertahanan Zimbabwe, Abel Chimusaru bagaimanapun membuka ruang kepada pasukan Malaysia pada minit ke-44 apabila menjatuhkan pemain sayap Norshahrul Idlan Talaha dalam kotak penalti menyebabkan pengadil R. Krishnan memberikan tendangan penalti yang disempurnakan Mohd Safiq Rahim.

Malaysia meluaskan jurang jaringan pada minit ke49 melalui Indra Putra manakala gol ketiga diperoleh pada minit ke-85 melalui pemain Kuala Muda NAZA Farderin Kadir dan pada minit ke-88 Norshahrul menjaringkan gol keempat Malaysia.

Pusingan kedua perlawanan persahabatan itu akan diadakan pada pukul 5.30 petang Selasa di Stadium Shah Alam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain