suria

Razali: Kerajaan tidak halang rakyat Malaysia beli Newcastle

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan belum lagi dimaklumkan usaha sekumpulan ahli perniagaan negara ini yang dilaporkan telah mula menerokai hasrat untuk membeli pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Newcastle.

Bagaimanapun kementerian itu tidak akan menghalang usaha berkenaan yang dijalankan atas motif perniagaan.

"Kementerian belum dimaklumkan, saya pun hanya mengetahui menerusi akhbar hari ini.

"Kami tidak akan menahan (usaha membeli) itu... ia adalah satu bentuk usaha niaga," kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Penubuhan Persatuan Belia (Protem) Secara Berkelompok di sini petang ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini bahawa sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dipercayai sudah memulakan perundingan untuk membeli Newcastle daripada pemiliknya Mike Ashley.

Konsortium yang diketuai rakyat Malaysia termasuk beberapa ahli perniagaan terkemuka negara ini telah menyatakan persetujuan untuk membeli Newcastle dengan harga 80 juta pound sterling (RM456 juta).

Pasukan itu telah diturunkan kedudukannya dari Liga Perdana Inggeris sesi lalu.

Konsortium itu juga dikatakan telah melawat St. James' Park dan lokasi latihan di Benton kelmarin.

Sehubungan itu Razali berkata, kementeriannya berharap pembelian pasukan Newcastle akan menyumbang kepada kemajuan sukan bola sepak negara ini.

Malah beliau juga berharap usaha sedemikian juga akan ditunjukkan ke atas pasukan domestik, yang sekali gus akan meningkatkan mutu permainan dan pengurusan bola sepak tempatan.

"Bidang bola sepak di Britain bukan setakat sukan semata-mata, malah ia juga berkembang menjadi satu industri, urus niaga yang nilainya lebih besar daripada nilai dana negara-negara dunia ketiga," katanya.

Dalam pada itu, Razali berkata, pihaknya masih berusaha untuk mengesan kira-kira 800 pertubuhan belia yang sebelum ini telah didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan, yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Setakat ini kami telah mendaftarkan semula 77.7 peratus pertubuhan belia yang didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan... kami masih cuba menghubungi baki 800 lagi pertubuhan," katanya.

Selepas diwujudkan bahagian Pendaftar Belia, kata beliau, Kementerian Belia dan Sukan mengambil usaha untuk meletakkan pertubuhan-pertubuhan belia di bawah Pendaftar Belia.

Hanya pertubuhan belia yang didaftarkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang dibenarkan menggunakan nama "belia" dan boleh memperoleh peruntukan atas nama pertubuhan.

Pertubuhan yang didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan hanya diberikan peruntukan, juga oleh Kementerian Belia dan Sukan, berdasarkan aktiviti yang dianjurkan.

Ketika ditanya sama ada Kementerian Belia dan Sukan akan menetapkan satu tempoh akhir bagi 800 pertubuhan terbabit mendaftar dengan kementeriannya, Razali memberitahu:

"Kami akan terus menghubungi dan akses mereka... kami sudah hantar surat dan kami akan menghubungi lagi mereka, mahu menggalakkan mereka mendaftar dengan kami.

"Pendekatan kami bukan untuk menghukum mereka tetapi menggalakkan lebih banyak pertubuhan belia di negara ini."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cheng Chu sasar pingat emas

Artikel Lain