suria

Pemain Pro Korea Selatan tarikan Kejohanan MLAO 2009

KUALA LUMPUR: Kejohanan Golf Terbuka Wanita Amatur Malaysia (MLAO) di The Mines Resort & Golf Club pada 4 hingga 6 Ogos ini bakal diserikan dengan kehadiran pemain golf profesional Korea Selatan, Se Ri Pak.

Presiden Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) Tunku Puteri Datuk Seri Jawahir Tuanku Ja'afar berkata walaupun Se Ri Pak tidak beraksi pada kejohanan itu, beliau bagaimanapun bersetuju mengadakan klinik golf untuk pemain muda tempatan.

"Se Ri Pak merupakan seorang pemain golf yang prihatin dan beliau telah bersetuju untuk mengadakan klinik golf kepada pemainpemain muda tempatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sesi klinik golf itu akan membabitkan 50 hingga 100 orang pemainpemain muda tempatan bagi menimba tunjuk ajar dan latihan secara terus daripada Se Ri Pak. Se Ri Pak merupakan peserta termuda yang pernah merangkul kejuaraan Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat iaitu pada usia 20 tahun dan pernah layak ke pusingan akhir di kejohanan Persatuan Pemain Golf Wanita Profesional (LPGA) pada 1998, 2002 dan 2006.

Sementara itu, koordinator kejohanan, Rabeahtul Aloya Abbas berkata seramai 137 pemain daripada 13 buah negara terutamanya dari benua Asia akan menyertai kejohanan itu.

Katanya pemain handalan Thailand, Kawinpakorn Yupaporn, mengesahkan penyertaan dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang diraihnya pada tahun lepas.

"Adalah diharapkan dengan kehadiran beliau, kejohanan ini akan menjadi satu kejohanan yang mencabar kepada pemainpemain lain terutamanya dari Malaysia yang menghantar 62 pemain," katanya.

Selain Malaysia, negara-negara lain yang mengambil bahagian ialah Singapura, Thailand, Hong Kong, Indonesia, Filipina, China, England, Brunei, Australia, Sri Lanka, Taiwan dan Amerika Syarikat. BERNAMA

Artikel Lain