Hafiz menang percuma pusingan pertama terbuka Pahang

Diterbitkan: Selasa, 26 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Pilihan kedua Mohd Hafiz Hashim mendapat kemenangan percuma dalam Kejohanan Badminton Sirkit Kebangsaan Proton Terbuka Pahang yang bermula hari ini setelah lawannya Zulfari Abdullah tidak hadir pada pusingan pertama kejohanan itu.

Dalam pusingan kedua, bekas juara AllEngland itu yang mewakili BAM/Selangor akan berdepan Liew Daren dari BAM/Kuala Lumpur.

Pemain badminton nombor satu dunia yang juga pilihan pertama, Datuk Lee Chong Wei mendapat bye pada pusingan pertama dan akan menentang Tan Aik Quan dari Kedah pada pusingan kedua.

Chong Wei yang mewakili BAM/Pulau Pinang menjuarai Terbuka Pahang pada 2005 dan 2007. Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM84,000.

Abang kepada Mohd Hafiz, Mohamad Roslin yang mewakili Selangor dan bukan pemain pilihan, mudah mengetepikan Muhd Syawal Ismail dari BAM/Selangor dengan 21-15 dan 21-14.

Kuan Beng Hong, naib juara Cabaran Antarabangsa Malaysia pada 2007 dan merupakan pilihan ketiga kejohanan, menundukkan Chong Li Qun dari Kuala Lumpur dengan 21-17, 21-16.

Seorang lagi pemain pilihan, Chong Wei Feng juga menepati ramalan layak ke peringkat seterusnya setelah mengetepikan cabaran Pei Wee Chung dari Sarawak dengan 21-14, 21-16.

Empat beregu pilihan iaitu Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari-Mohd Zakry Abdul Latif, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng kesemuanya mendapat bye pada pusingan pertama.

Dalam perseorangan wanita pula, Wong Mew Choo menarik diri sekaligus menyaksikan Lydia Cheah Li Ya menjadi pemain pilihan pertama kejohanan dengan mendapat bye pada pusingan pertama.

Seramai 200 pemain mewakili 15 pasukan menyertai kejohanan tiga hari itu. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan