suria

Perlis terus kuasai Liga Super

KUALA LUMPUR: Perlis meneruskan penguasaan di tangga teratas Liga Super setelah menewaskan Kelantan 20 di Stadium Utama, Kangar malam tadi.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu memberikan amaran awal untuk meraih tiga mata apabila menjaringkan gol pertama seawal minit ke-12 melalui Mohd Firdaus Faudzi.

Penyerang berbisa Perlis, Mohd Nizaruddin Yusof menambah gol kedua Singa Utara melalui sepakan penalti pada minit ke-38 setelah rakan sepasukan Mohd Syazwan Zainol dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Kejayaan Perlis itu bagaimanapun diikuti rapat oleh Selangor ditangga kedua apabila menewaskan Pulau Pinang 10 di Stadium Shah Alam menerusi jaringan tunggal Rudie Ramli pada minit ke-58.

Selangor kini meraih 34 mata kurang satu di belakang Perlis yang mengumpul 35 mata daripada 15 perlawanan yang telah diharungi.

Kedah pula menewaskan Perak 31 di Stadium Darulaman dengan gol pertama pada minit ke35 menerusi Ahmad Fauzi Shaari yang berjaya menguis bola hantaran Mohd Khyril Muhymeen Zambri di sebelah kiri gol sebelum menewaskan penjaga gol Perak, Kamarul Effandi.

Skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah itu menambah gol kedua pada minit ke-45, menerusi Shahrul Nizam Mustafa sementara Mohd Khyril Muhymeen menjaringkan gol ketiga tuan rumah pada minit ke 48 setelah menanduk bola sepakan sudut daripada Badrol Bakhtiar di sebelah kanan gol.

Pasukan pelawat yang dibimbing M.Karathu tidak berputus asa dengan terus membuat asakan dan hasilnya mereka memecah kebuntuan menerusi Isma Alif Mohd Salim pada minit ke-72 untuk menjaringkan gol tunggal mereka.

Sementara itu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan terus memberi tekanan kepada Perlis, Selangor dan Kedah apabila turut mencatatkan kemenangan 30 ke atas Pahang.

Dua gol tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke27 dan 60 diikuti satu jaringan melalui Idris Karim pada minit ke-71 untuk berada di tangga keempat liga.

Perlawanan di Stadium JCorp, Pasir Gudang pula menyaksikan Johor FC menumbangkan Terengganu 30 yang bermain 10 pemain sejak minit ke18 setelah ketua pasukan Mohd Marzuki Yusof dilayangkan kad merah.

Tiga gol tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Eddy Helmi Abd Manan (m60), Mohd Nurul Azwan Roya (76) dan Mohd Saiful Sabtu (80). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain