suria

BAM sedia bantu Laos

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia membantu Laos menyediakan skuad yang lebih mantap untuk menghadapi temasya Sukan SEA Ke-25 di

Vientiane dari 9 hingga 18 Disember ini. Setiausaha Kehormat BAM Ganga Rao berkata BAM bersedia melatih pemain Laos pada masa yang terdekat ini agar pemain negara tersebut tidak mengalami kekalahan teruk dalam acara sukan itu nanti.

Laos, selaku tuah rumah, dengan penduduk seramai 6.5 juta orang, membariskan beberapa pemain seperti Phonepasith Phengsengcham, pemain perseorangan lelakinya, untuk memenangi pingat pada temasya itu.

Laos tidak pernah memenangi sebarang pingat dalam acara badminton sepanjang penyertaan dalam Sukan SEA.

Persekutuan Badminton Kebangsaan Lao (PBKL) sejak tiga tahun lalu telah mendapat khidmat jurulatih China untuk membimbing pemain Laos menghadapai dua temasya Sukan SEA di Korat, Thailand 2007, dan kini Vientiane tahun ini.

Di samping mendapat bimbingan jurulatih China tersebut, PBKL telah menyatakan hasrat untuk mendapat khidmat kejurulatihan dari BAM.

Hasrat ini disampaikan semasa lawatan Pengurus Pentadbiran BAM Ahmad Idris yang mengikuti rombongan Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Malaysia yang menghadiri sesi perbincangan dan pemantauan kemudahan asas di Vientiane minggu lepas.

Selain bantuan kejurulatihan, BAM juga bersedia membantu dari sudut teknikal termasuk melatih pengadil dan penjaga garisan dari negara itu. BERNAMA

Artikel Lain