suria

Malaysia tarik diri daripada kejohanan di Filipina

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengambil keputusan untuk menarik diri daripada Kejohanan Olahraga Terbuka Filipina di Manila bermula Ahad ini berikutan ancaman wabak influenza A(H1N1).

Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) Karim Ibrahim berkata keputusan membatalkan penyertaan 23 atlet negara pada kejohanan tiga hari itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Sebaliknya, katanya, kontinjen Malaysia itu akan mengambil bahagian pada Kejohanan Terbuka Kedah di Alor Setar pada Sabtu dan Ahad ini.

Antara atlet lelaki yang disenaraikan pada Kejohanan Terbuka Filipina ialah Robani Hassan dalam acara 110m lari berpagar, M. Vadivellan, Mohd Jironi Ridzuan (1,500m, 800m), Zabidi Ahmad (100m, 4x100m).

Atlet wanita ialah Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan pelari 400m lari berpagar Noraseela Khalid.

Menurut lama web Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini, sebanyak 23 buah negara telah melaporkan 1,893 kes jangkitan penyakit influenza A(H1N1). BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain