suria

Pelumba Amerika dijangka beri saingan pada JM 2009

KUALA LUMPUR: Pelumba berpengalaman dari Amerika Syarikat sudah bersedia untuk memberi cabaran kepada pelumba tempatan pada penampilan sulung mereka di Kejohanan Berbasikal Jelajah Malaysia (JM 2009).

Pengarah Eksekutif JM 2009, Datuk Astaman Abdul Aziz, berkata pasukan Jelly Belly Pro Cycling Team dari negara itu akan menurunkan enam pelumba handalan pada perlumbaan bersatus 2.2 itu mulai 19 hingga 26 April ini.

Antara pelumba profesional mereka ialah Bernard Van Ulden yang pernah menduduki tempat ketiga Kejohanan Ujian Masa Kebangsaan Elit Amerika Syarikat dan menjuarai peringkat kelima Jelajah Tour de Toona pada 2006.

Selain itu, pelumba Kel Reijnen, yang menduduki tempat kelima keseluruhan pada Jelajah Hainan tahun lepas turut tersenarai di samping pakar pecut pasukan, Charles Huff.

"Huff dijangka akan memberi saingan sengit kepada pelumba negara Anuar Manan untuk mempertahankan jersi raja pecut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pasukan itu juga akan menampilkan pelumba dari Australia, Matthew Rice, Matthew Crane (Amerika Syarikat) dan Will Routley dari Kanada.

"Kami harap pasukan profesional itu akan memberi saingan sengit kepada 20 pasukan lain dalam memburu gelaran pada perlumbaan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM280,000," katanya.

JM 2009 sejauh 1,240km itu, yang dianjurkan oleh Ten Speed Events Sdn Bhd, akan melibatkan lapan peringkat perlumbaan bermula dari Kuala Selangor melalui beberapa negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, Terangganu, Pahang dan berakhir di Dataran Merdeka di sini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain