suria

Black, Tomok dan Shuib angkat ‘bendera putih’! - “Maaf sekiranya saya menyakiti hati kalian, harap hentikan komen tak baik”

Tomok, Black dan Shuib buat permohonan maaf secara terbuka di laman sosial masing-masing.

TINDAKAN penyanyi Black dan Tomok mencadangkan bantuan khas untuk penggiat seni yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya memakan diri apabila mereka berterusan dikecam netizen di laman sosial.

Enggan membiarkan isu ini berlarutan, Black tampil membuat permohonan maaf dan mengakui saranannya itu hanya mengundang rasa kurang senang orang ramai.

Justeru itu, Black atau nama sebenar Hanifah Md Hanafiah meminta netizen menghentikan kecaman dan tohmahan terhadap dia serta keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bukan bodoh sangat... dah tunjuk mewah lepas tu nak minta bantuan” - Black Hanifah bengang dituduh suka meminta

ARTIKEL BERKAITAN: “Tolong faham dan jangan gaduh-gaduh, benda simple saja” - Shuib rayu netizen ‘hadam’ permintaan golongan selebriti

"Baru-baru ini saya ada keluarkan kenyataan membuatkan orang tak selesa... marah dengan kenyataan saya itu. Niat saya nak membantu tapi mungkin cara penyampaian salah.

"Ada komen-komen daripada saya juga yang buat orang marah... saya ingin mohon maaf secara terbuka atas kesilapan saya.

Black harap netizen henti kecam keluarganya.

"Saya juga manusia biasa melakukan kesilapan, harap sangat netizen di luar sana dapat hentikan komen-komen yang tak baik ke atas saya dan keluarga," katanya menerusi Instagram pada malam Isnin.

Sementara itu, sahabat baik Black iaitu Tomok turut membuat permohonan maaf berhubung isu ini.

"Untuk tidak menjadikan keadaan semakin buruk saya ingin meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia... maaf sekiranya kenyataan saya di Instagram tempoh hari ada menyakiti hati kalian.

Tomok mohon maaf jika kenyataannya menyakitkan hati ramai pihak.

"Saya juga manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan... maafkan saya semua. Marilah kita sama-sama doakan semoga negara kita dan dunia bebas daripada Covid-19," tulis Tomok.

Dalam pada itu, salah seorang lagi selebriti yang menyokong kenyataan Black dan Tomok iaitu Shuib turut membuat permohonan maaf atas keterlanjuran katanya itu.

"Saya mengambil apa yang berlaku berhubung kenyataan saya tempoh hari sebagai kesilapan sendiri. Saya mohon ampun serta maaf dan saya harap isu ini selesai.

Shuib mahu isu ini berakhir dengan baik.

"Saya terima apa juga kata-kata anda. Satu yang pasti, saya selalu kenang jasa anda semua yang menyokong saya. Sama-sama kita berdoa agar negara kita lekas bebas dari Covid-19.

"Semoga kita sentiasa dilindungi, diberkati dan dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat. Sama-sama kita bantu mana yang memerlukan dan semoga kita terus tabah dalam ujian ini," ujarnya.

Sebelum ini, kecoh apabila selebriti Black Hanifah, Tomok dan Shuib menyuarakan pandangan mereka mengenai anak seni khususnya artis veteran dan pekerja belakang tabir perlu dibantu.

Isu tersebut mendapat perhatian netizen yang kurang senang kerana menganggap golongan artis mempunyai kehidupan mewah seperti yang sering dipamerkan di media sosial.

Tomok, black, Shuib

Artikel Lain