suria

Ali Puteh diminta RM30,000 jika mahu kembali Instagram - “Semoga kamu bertaubat sebelum mati”

Ali enggan melatah dan membiarkan saja Instagram lamanya itu diambil individu tidak bertanggungjawab.

SELEPAS hilang lebih 400,000 pengikut gara-gara akaun Instagram peribadi digodam, pelawak Ali Puteh mendedahkan individu tidak bertanggungjawab itu meminta sebanyak RM30,000 jika mahu akaun itu dikembalikan.

Ali atau nama sebenar Syed Ali Mubarak Syed Ridzuan, 31, menolak permintaan itu dan mendoakan agar pencuri itu bertaubat sebelum menemui ajal.

ARTIKEL BERKAITAN: “Allah uji lagi, Instagram pula dicuri!” - Ali Puteh hilang 400,000 pengikut

Ali memuat naik paparan skrin mesej daripada individu tersebut.

"Alhamdulillah ini IG saya yang dicuri itu. Mahukan duit rupa-rupanya. Semoga Allah terima taubat kamu... Allahuakbar.

"Percaya kata saya, setiap yang hidup pasti akan mati. Saya doakan kamu ya sahabat. Tidak mengapa jika kamu mahukan IG ini, ambil la.

"Saya tak perlukan. Saya doakan kamu bertaubat sebelum mati ya," katanya menerusi Instagram baharu @aliputehofficial.

Ahli kumpulan Puteh juga memberitahu akaun Instagram isterinya turut menjadi mangsa individu tidak bertanggungjawab tersebut.

Bagaimanapun, Ali yang dihubungi mStar berkata, dia reda andai tidak mendapat semula akaun Instagram berkenaan.

“Selepas saya balas mesej itu, individu tersebut hanya gelak sahaja. Tak apa, saya tak kisah pun dia nak ambil Instagram itu dan saya reda jika tidak dapat semula akaun IG itu.

“Tapi saya rasa, dia orang yang sama juga godam IG isteri saya. Sebab pada yang sama, dia mesej lagi kepada saya tapi menggunakan akaun IG isteri saya itu,” katanya.

Percaya kata saya, setiap yang hidup pasti akan mati. Saya doakan kamu ya sahabat. 

ALI PUTEH

PELAWAK

Rata-rata pengikutnya terkejut dengan jumlah yang diminta dan menganggap individu tersebut menggunakan jalan mudah untuk dapatkan wang.

"Pergh... tak agak-agak ya minta RM30,000! Tak ada beza dengan scammer. Senang betul hidup mereka. Kita ini yang cari duit setengah nyawa. Lapor saja pada polis.

"Senangnya dia buat duit. Godam IG orang lepas itu minta duit kalau nak balik IG tu. Sabar Ali, semoga sentiasa dalam keadaan tabah.

"Gila harta orang ini abang. Apa-apa pun, terus kuat abang. Allah ada dengan abang," komen beberapa netizen.

Ali dedah IG digodam.

Nama Ali Puteh menjadi perbualan hangat netizen selepas dia memuat naik status luahan kemarahan terhadap usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri di Instagram minggu lalu.

Kemarahan itu tercetus gara-gara video Aliff menemubual isteri kepada Abam iaitu Nor Hidayah mengenai harta pusaka peninggalan arwah.

Kemelut antara Ali dan Aliff masih berlanjutan biarpun masing-masing sudah membuat sidang media penjelasan serta permohonan maaf secara terbuka. 

Artikel Lain